SHAH ALAM, 30 Mac 2022– Pelaksanaan program One to One Tree melalui Program Penghijauan Malaysia yang telah dilancarkan sejak 5 Januari 2021 yang lalu merupakan satu program penanaman pokok menggantikan pokok yang tua dan menghijaukan kawasan di dalam UiTM dengan menambah penanaman pokok selari dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Diilhamkan oleh Matlamat Pembangunan Mampan ke-13 – Tindakan Terhadap Iklim yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2015, pelaksanaan kempen ini selaras dengan objektif utama iaitu “Mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim serta kesannya dengan mengawal pengeluaran gas rumah hijau dan menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui”.
Naib Canselor UiTM YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, “Pemilihan UiTM sebagai salah satu tapak penanaman pokok ini adalah selaras dengan kempen penanaman 100 juta pokok peringkat kebangsaan seperti yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-77 pada 8 September 2020”.
Melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 30 Mac 2022 antara UiTM, Affin Bank dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) yang berkuatkuasa selama 3 tahun bermula dari tarikh perasmian 30 Mac 2022 sehingga 29 Mac 2025 ini, beliau yakin program One to One Tree yang dilaksanakan serentak di kampus utama UiTM Shah Alam serta kampus-kampus cawangan hari ini secara tidak langsung menunjukkan sokongan dan semangat keluarga UiTM yang cintakan kehijauan bumi dan kesejahteraan alam sekitar.
Selain pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, kelestarian kampus juga diberikan penekanan agar kampus hijau dapat dikekalkan. Ini adalah untuk memastikan komitmen UiTM terhadap inisiatif-inisiatif negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai, selain menggalakkan penyertaan agensi kerajaan persekutuan/negeri, syarikat swasta dan badan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan/penyelidikan dan orang awam dalam usaha penanaman pokok.
Justeru, pelaksanaan program ini dijangka menjadi tangga pertama dalam mengintegrasikan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam dasar, strategi dan perancangan negara, selain meningkatkan tahap pendidikan dan kesedaran orang awam tentang topik iklim. Program ini juga dijangka dapat memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok di kawasan yang sesuai.
Program ini melibatkan seluruh kampus UiTM secara serentak, di mana setiap kampus mengenal pasti kawasan yang bersesuaian untuk penanaman spesis pokok yang sesuai. Terdapat 19 lokasi penanaman yang telah dikenal pasti di kampus UiTM Shah Alam dengan anggaran 250 pokok yang terdiri daripada pelbagai spesis.
Seksyen Operasi Landskap UiTM telah mengenal pasti pokok-pokok tua yang berbahaya dan boleh tumbang. Pokok-pokok tua dan berbahaya ini ditebang dan digantikan dengan pokok baharu yang bersesuaian. Seksyen Operasi Landskap UiTM juga mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk penanaman pokok baru untuk menambah kehijauan.
Pihak UiTM berkolaborasi bersama pihak YHM dalam menyediakan lokasi di dalam kampus UiTM untuk penyediaan, perancangan dan pelaksanaan penanaman dan pasaran pokok melalui program yang melibatkan kutipan dana untuk Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, selain menjalankan aktiviti menarik penyertaan daripada komuniti melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan untuk memupuk penglibatan pihak berkepentingan.
Di peringkat UiTM, sejumlah 224 batang pokok yang ditanam di Kampus Shah Alam sahaja melibatkan lebih dari lima (5) spesis yang telah dicadangkan. Malah, jumlah ini terus meningkat dengan penglibatan dari UiTM kampus cawangan di seluruh negara.