SHAH ALAM, 29 MAC 2022 – Majlis pelancaran program Rakan Alam Sekitar (RAS) 2.0 telah diadakan sempena Majlis Penutup Program Sustain the World Virtual Camp 2022 anjuran persatuan pelajar Institute of Chemical Engineers UiTM Student Chapter (IChemE-UiTM SC) dengan rakan kolaborasi IChemE-Monash Student Chapter, IChemE-UCSI Student Chapter, Pusat Hijau UiTM dan juga dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Malaysia.
Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam usaha memperkasakan Rakan Alam Sekitar atau lebih sinonim dengan RAS telah melancarkan Rakan Alam Sekitar 2.0. Objektif utama adalah untuk meningkatkan penglibatan anggota masyarakat secara hands-on iaitu menjadi `mata dan telinga’ untuk membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. Justeru, RAS 2.0@UiTM dan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter telah dilancarkan bagi menyokong agenda Rakan Alam Sekitar 2.0. Penglibatan warga UiTM dapat membantu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menjaga kelestarian alam sekitar melalui penubuhan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter di bawah kelolaan Kolej Pengajian Kejuruteraan untuk mendokong semua aktiviti kelestarian alam yang akan dijalankan oleh warga UiTM.
Gimik penyerahan pokok dan menandatangani plak penubuhan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter pada majlis pelancaran Rakan Alam Sekitar 2.0 ini telah disempurnakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YBhg Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama-sama Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Fozi Ali dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, YBhg Puan Noor Afifah Binti Abdul Razak, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Yang Berusaha En Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, YBhg Professor Dr Mohd Sazili Shahibi.
Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Fozi Ali dalam ucapannya telah menzahirkan ucapan tahniah atas inisiatif penganjuran program kelestarian di kalangan pelajar dan menekan Warga UiTM untuk terus komited dengan menjalin kerjasama strategik bersama rakan-rakan industri bagi memastikan kelestarian alam sekitar akan lebih terjamin.
Dengan kejayaan Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar 2.0 dan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter, ini dapat memastikan penglibatan Warga UiTM di dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan/Sustainable Development Goals (SDGs) dan seiring dengan Sustainability Road Map UiTM yang telah dirangka bagi melestarikan aktiviti dan program anjuran Universiti.