UiTM Meneroka Strategi Baru Jaringan Global bersama Universiti Elit di United Kingdom

London, United Kingdom – Delegasi UiTM telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Education Malaysia (EM) London, beralamat di No 30 – 34 Queensborough Terrace, W2 3ST London, United Kingdom. Susulan itu, dialog bersama dengan staf UiTM yang melanjutkan pengajian di Universiti-Universiti terkemuka sekitar London, turut berlangsung dengan diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg. Profesor Ts. Dr Norazah Abd Rahman.

Kunjungan dan perbincangan mesra ini adalah bertujuan mendapatkan maklum balas staf berkaitan perkembangan terkini dan isu semasa serta cabaran pengajian masing-masing. Ini dilihat penting untuk lebih memahami isu-isu yang disampaikan secara bersemuka dan seterusnya memberi pencerahan mengenai peranan kedua-dua pihak UiTM dan EM dalam membantu memudah cara kelangsungan pengajian staf UiTM khususnya yang berada di sekitar London.

Isu-isu yang diutarakan pada umumnya berkisar tentang peningkatan kos sara hidup meliputi kadar sewa rumah, yuran pengajian dan apakah bentuk-bentuk akses terhadap sistem sokongan untuk staf yang sedang menyambung pengajian.

Turut serta dalam delegasi UiTM adalah Profesor Dato’ Abu Bakar Abdul Majeed, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UiTM; Profesor Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar – Pengarah Department of Strategic Partnership (DSP) UiTM Global dan Profesor Dr Nooritawati Md Tahir – Pengarah Neksus Penyelidikan (ReNeU). Manakala di pihak EM pula, diwakili oleh YBrs Prof Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, Pengarah EM London, En Lukman Zulkifly dan Pn. Alia Nabila Alias selaku Atase Pendidikan.

Perbincangan juga banyak tertumpu kepada strategi meningkatkan jaringan global bersama-sama dengan Universiti elit, di mana staf UiTM digesa untuk memainkan peranan masing-masing selaku `duta kecil’ UiTM bagi memulakan inisiatif berkenaan. Delegasi UiTM turut bertukar-tukar pandangan mengenai mekanisme dan strategi yang boleh digerakkan oleh staf di sepanjang pengajian masing-masing supaya momentum jalinan sedia ada masih diteruskan meskipun mereka telah pulang semula ke tanah air kelak.

Antara yang dibincangkan termasuk menggunakan segenap ruang dan peluang bersama-sama Penyelia masing-masing untuk menerbitkan penulisan bersama, geran padanan, lantikan Profesor Kehormat dan lain-lain seumpamanya.

Selain berkongsi statistik pencapaian semasa jaringan global Universiti, delegasi UiTM juga telah menjelaskan bentuk-bentuk bantuan dalaman meliputi insentif geran sokongan penyelidikan dan skim penerbitan. Begitu juga dengan akses kepada pakej geran luar yang sebenarnya boleh direbut oleh staf UiTM khususnya pakej yang ditawarkan di bawah pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Sehubungan ini, pihak EM sentiasa bersedia menjadi pengantara bagi memudahcara sebarang usaha-usaha jaringan global UiTM dengan rakan Universiti di sekitar United Kingdom.

Semoga usaha ini dapat mencetuskan impak kepada inisiatif jaringan global dan seterusnya menyerlahkan ketampakan UiTM di persada antarabangsa.

📝Artikel oleh: Profesor Dr Nooritawati Md Tahir,Pengarah Neksus Penyelidikan (ReNeU) dan Profesor Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar, Pengarah Department of Strategic Partnership (DSP) UiTM Global.

📷 : Education Malaysia, London