22 Oktober 2022, Shah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) ialah universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini yang merangkumi 34 kampus, 31 fakulti dan pusat akademik di seluruh negara. UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pradiploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, serta Program Profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi, membentuk masa hadapan. Enrolmen pelajar UiTM menjelang Oktober 2022 juga telah mencapai lebih daripada 200,000 yang menunjukkan UiTM memenuhi aspirasi ke arah menjadi Globally Renowned University (GRU) 2025.
Oleh itu, pelajar penerapan UiTM merupakan salah satu kunci kejayaan UiTM apabila mereka masih memilih UiTM untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat Sarjana Muda. Dalam memastikan mereka membuat persediaan rapi dalam menghadapi tempoh pengajian yang baharu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM melalui Pejabat Pembangunan Pelajar telah menganjurkan program Pemantapan Destini Siswa (PDS) yang bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC). Program ini penting bagi memberikan pendedahan awal tentang informasi terkini yang berlaku dalam kampus agar para pelajar yang mendaftar pada sesi Oktober 2022 ini lebih bersedia dalam menghadapi sesi kuliah yang sedang dijalani oleh mereka. Program PDS ini telah melibatkan hampir 1,200 pelajar penerapan yang sebelum ini menuntut di UiTM cawangan se-Malaysia.
Program yang telah berlangsung sejak 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Dalam amanatnya, beliau telah menyatakan hasrat dan harapan kepada mahasiswa penerapan dalam terus menjaga nama baik UiTM ketika menjadi penuntut UiTM mahupun sudah bergelar alumni kelak. Di samping itu, beliau juga telah menekankan penghayatan moto UiTM iaitu Usaha, Takwa, Mulia dalam melahirkan mahasiswa UiTM yang holistik dan mampu berdaya saing. Dalam pada itu, YBhg. Timbalan Naib Canselor HEP juga sedikit sebanyak telah menerangkan fungsi BHEP UiTM dalam menjaga keperluan dan kebajikan pelajar UiTM sepanjang mereka menuntut di universiti keramat ini.
Antara fungsi utama BHEP UiTM adalah untuk memperkasa pembangunan dan kepimpinan pelajar, pengurusan kebajikan pelajar, menjadi platform khidmat bimbingan, psikologi dan kaunseling, menyediakan inisiatif pengurusan, perkhidmatan dan kemudahan pelajar di kolej kediaman, non-residen, kesihatan, sukan, rekreasi, kerjaya dan sebagainya. Semua fungsi-fungsi utama ini menjadi wadah pembangunan BHEP UiTM ke arah mewujudkan UiTM sebagai universiti terkemuka yang lengkap dengan segala aspek kehidupan.
Dengan penerangan dan amanat daripada YBhg. Timbalan Naib Canselor (HEP), program PDS yang dianjurkan oleh BHEP UiTM ini sememangnya memberikan signifikan kepada para pelajar penerapan yang baru sahaja mendaftar di UiTM Shah Alam. Dengan adanya ilmu dan tahap kesediaan yang lengkap dengan informasi dan maklumat terkini, pelajar UiTM ini dapat menjadi mahasiswa yang proaktif dalam menghadapi hari-hari yang akan mendatang di UiTM. Pihak BHEP UiTM sentiasa komited dalam menyediakan platform dan kemudahan bagi memastikan pelajar-pelajarnya sentiasa bersemangat dalam menghadapi pengajian di UiTM secara lebih kondusif.