UiTM Membangunkan Jurulatih Kerjaya Bertauliah melalui Program Certified Career Coaching Program (CCCP)

Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM), melalui kolaborasi Industry Community and Alumni (ICAN), Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Industri, terus memperkukuhkan usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui program Certified Career Coaching Program (CCCP).

Seramai 35 staf UiTM, termasuk pensyarah, jurulatih Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), dan kaunselor dari pelbagai kampus, telah menyertai program ini. Program ini bertujuan melatih peserta menjadi jurulatih kerjaya bertauliah yang berkemampuan memberikan bimbingan kerjaya berkualiti kepada pelajar UiTM

Program ini merupakan inisiatif Khazanah Nasional Berhad dan dilaksanakan oleh Aisling Consulting. Program intensif ini berlangsung selama empat hari tiga malam, bermula dari 9 hingga 12 Disember 2024. Program ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-4 mengenai Pendidikan Berkualiti, SDG ke-8 mengenai Pekerjaan Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi, serta SDG ke-17 mengenai Kerjasama demi Matlamat.

CCCP menawarkan enam modul utama yang direka khusus untuk meningkatkan kompetensi peserta dalam bimbingan kerjaya. Modul-modul ini merangkumi Market Trend, yang memberi kefahaman mendalam tentang trend pasaran kerja semasa, dan Personal Branding, yang membantu membina imej profesional pelajar. Modul lain termasuk Matching Graduates to Companies, CV Writing, Interview Techniques, dan Job Search Techniques.

Setiap modul melibatkan tugasan berkumpulan dan pembentangan, memastikan peserta dapat memberikan bimbingan berkualiti tinggi kepada pelajar dan membantu mereka memahami keperluan industri serta membina kemahiran yang dicari oleh majikan.

Selain itu, CCCP juga menjadi platform penting untuk memperkukuhkan rangkaian profesional di kalangan peserta dan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan kaedah terbaik dalam membimbing pelajar, sejajar dengan SDG17.

Dengan adanya staf akademik yang terlatih dalam bimbingan kerjaya pelajar, diharapkan UiTM dapat melahirkan graduan UiTM yang lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja global, serta menyokong Fokus Utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Penyediaan Bakat Terbaik Negara.

Unit Kebolehpasaran Graduan, ICAN UiTM, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Khazanah Nasional Berhad dan Aisling Consulting atas sokongan mereka dalam membiayai program ini melalui inisiatif K-Youth. Sokongan ini dmenyokong matlamat pembangunan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih mampan untuk negara.