UiTM Melaka Anjur International Communication Competition 2024

ALOR GAJAH, 30 Disember 2024 – Program International Communication Competition 2024 (ICC2024) telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini iaitu dari 8 November 2024 hingga 15 November 2024 secara atas talian di bawah anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka dengan kolaborasi strategik bersama BINUS University, Father Saturnino Urios University, UIN Sunan Ampel Surabaya serta Universitas Muhammadiyah Malang. Puan Aini Faezah Ramlan, Pensyarah Kanan, FKPM, UiTM, Cawangan Melaka bertindak selaku Ketua Projek bagi program ini.

Program yang melibatkan pengisian webinar berkaitan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) menampilkan perkongsian daripada pakar-pakar dalam bidang berkaitan pelbagai aspek dalam teknologi ini. Antara topik yang dibawa adalah berkenaan AI in Everyday Life yang disampaikan oleh Puan Siti Hajar Abd Aziz dan Ts. Amir Nor Azan Samar dari FKPM UiTM Cawangan Melaka, topik AI for Social Good: Highlighting Positive Applications of AI yang disampaikan oleh Dr. Fikry Zahria Emeraldien dari UINSA dan Dr. Indra Prawira dari BINUS University, serta topik Applying AI in Communication Industry yang disampaikan oleh Tuan Nasrullah dari UMM dan Puan Mahda Nurdiawan dari Concentrix Malaysia Sdn. Bhd., Malaysia.

Majlis Penutupan yang berlangsung pada 15 November 2024 juga diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hj. Ridzuan selaku Ketua Pusat Pengajian (KPP), FKPM, UiTM Cawangan Melaka serta persembahan pensyarah dan pelajar.

Memetik kenyataan oleh Puan Aini Faezah Ramlan selaku Ketua Projek ICC2024, beliau merujuk bahawa program ini merupakan antara siri-siri tahunan program oleh pihak FKPM bersama pihak institusi luar sebagai langkah jalinan kolaborasi strategik di samping menjadi ruang dan peluang ke arah lebih banyak kerjasama aktiviti-aktiviti pada masa hadapan dalam pelbagai aspek. Contohnya, kolaborasi pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan serta perancangan projek-projek berimpak tinggi di peringkat antarabangsa yang memungkinkan potensi perolehan manfaat kepada kedua belah pihak.

Program seperti ICC2024 ini diharapkan dapat diteruskan lagi di masa akan datang kerana jelas memberikan manfaat kepada para peserta terlibat yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar dari beberapa buat institusi terlibat ini. Kesepakatan di antara Jawatankuasa Pensyarah dan Pelajar di samping kerjasama erat yang diberikan oleh barisan pensyarah serta pakar daripada kesemua institusi terlibat ternyata amat membantu dalam penghasilan kejayaan dalam program ini.

Penulis: Puan Aini Faezah Ramlan, Dr. Mohamad Hafifi Jamri