Bangi, 28 Mac 2022– Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM dan Majlis Dakwah Negara (MDN) telah diadakan secara esklusif oleh pihak MDN di Bangi Resort Hotel dalam usaha membangunkan dan menambah-baik jaringan institusi dakwah di Malaysia. Majlis pemeteraian ini telah disempurnakan oleh Pengerusi MDN, Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abd. Majid manakala Professor Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan selaku Rektor UiTM Cawangan Pahang. Kerjasama strategik Universiti-NGO yang dimeterai menyaksikan satu langkah strategik dalam mengukuhkan sinergi dan kerjasama dinamik antara UiTM dan Majlis Dakwah Negara (MDN) ke arah mewujudkan rangkaian kelestarian pergerakan dakwah Islam dalam senario masyarakat Malaysia masa kini.
Pengerusi MDN, Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Bin Haji Abd. Majid berkata, inisiatif jalinan kerjasama ini sangat disambut baik bagi memperkukuhkan aktiviti-aktiviti dakwah komuniti dan pendidikan.
“Meskipun MDN mempunyai rakan strategik daripada pelbagai pihak, tetapi inilah MoU yang pertama kali diwujudkan oleh orang-orang muda MDN dengan pihak universiti. Dengan adanya kerjasama dengan rakan-rakan akademik dari universiti, kita boleh berjuang dan bekerja untuk bangsa kita, InsyaAllah kita tidak akan kehilangan banyak perkara. Saya ibaratkan orang melayu dalam negara kita ini ibarat bergantung atau berpaut di dahan yang satu. Ibaratnya kalau patah dalam politik, kita patah dalam semua sekali. Oleh kerana itu, saya rasa elok universiti boleh membantu dalam aktiviti-aktiviti komuniti dan pendidikan sejajar dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh masyarakat setempat mahupun sejagat”.
Beliau menambah lagi, langkah yang diambil oleh MDN dalam menjalankan kolaborasi adalah tepat kerana kerjasama ini akan menjadi platform dalam merealisasikan Pondok Perdana di Pahang dengan usaha menyalurkan maklumat dan menjadikan sebagai pusat repositori subjek yang berkaitan dengan dakwah dalam masyarakat yang dapat disebarkan kepada umum dengan lebih tersusun dan berfokus.
Professor Ts. Dr. Mohd Ilham Bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang dalam ucapan alu-aluan beliau turut menyambut baik saranan MoU ini bagi menyuburkan aktiviti-aktiviti dakwah dengan meraikan, mengiktiraf dan menghulur tangan kerjasama dengan semua pihak sama ada kecil atau besar demi dakwah.
“Jadikan UiTM ini sebagai platform sahaja, apa yang lebih penting adalah hasrat kita bagaimana untuk menggembleng tenaga untuk satu rumah demi dakwah kita. UiTM rela menjadi seketariat untuk menyediakan tempat dalam menjalankan misi dakwah kerana kebaikan UiTM adalah kita mempunyai cawangan di seluruh negeri.”
Tambah Prof. Rektor lagi, jalinan kerjasama ini dapat menyebarkan rangkaian dakwah kepada masyarakat atau warga Pahang melalui projek Pondok Perdana yang sedang dibangunkan oleh pihak MDN serta UiTM dapat belajar bagaimana sesebuah NGO mempunyai kepakaran dalam menjalankan aktiviti dakwah.
“Kebetulannya tempat yang MDN bangunkan Pondok Perdana itu di kawasan berdekatan dengan UiTM Jengka iaitu Kg Awah. Lokasinya tidak berapa jauh dari UiTM jengka hanya dalam setengah jam sahaja. Jadi disini saya boleh cakap bahawa keperluan logistik boleh diaturkan oleh UiTM sekiranya ada apa-apa aktiviti yang ingin dijalankan oleh pihak MDN. Inilah yang saya sebutkan tadi bagaimana UiTM sendiri boleh menjadi tenaga penggerak dan platform untuk kita menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah.
“Bercakap tentang perkembangan dakwah, rasanya UiTM pahang ini dalam kedudukan untuk kami belajar bagaimana sebenarnya kita sama-sama bergerak mempelopori aktiviti dakwah. Sebenarnya dalam saat yang mencabar ini kita memerlukan satu pendekatan baru dari segi cara kita berdakwah. Jadi kita perlu kerjasama yang baik dengan institusi yang lain kerana zaman sekarang adalah zaman yang sangat berbeza dengan saya ketika saya dibesarkan masa saya zaman universiti, sangat berbeza. Melihat disekitar UiTM sendiri yang dikelilingi 25 penempatan felda, tetapi belum ada lagi dakwah yang kami lakukan untuk penduduk setempat disini. Apa yang kami ingin lakukan adalah sesuatu yang solid untuk menangani masalah sosial di sekitar penduduk disini. Jika kekuatan ini digabung jalin berserta perancangan yang strategik, hasil dakwah akan lebih besar impak dan keberkesanannya kepada penempatan sekitar UiTM Jengka, khususnya,” katanya.
Harapan kepada MoU ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak, malah ianya akan menjadi pendorong kepada pelbagai inisiatif yang lebih bermakna dan komprehensif dalam membuka ruang penerokaan pelbagai disiplin ilmu, selain memastikan dakwah berkualiti, inklusif dan saksama dalam mempromosikan dakwah Islam sepanjang hayat untuk semua di peringkat komuniti dan masyarakat.
Turut hadir dari UiTM Cawangan Pahang, Wakil Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Timbalan Pendaftar, UiTM Cawangan Pahang, En. Mohammad Khair Bin Seni; Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Dr. Asjad Bin Mohamed; Koordinator ICAN, Dr. Nurrohana Binti Ahmad; Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Encik Mohd Azizul Bin Sulaiman, perintis MoU, Dr. Nurshahira Ibrahim dan rakan-rakan pensyarah yang lain.
Pihak ACIS dan PJI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua pihak dalam menjayakan program. Semoga program ini dapat dilanjutkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat dan beroleh keberkatan daripada Allah SWT.