UiTM Lions pertaruh 21 pemain baharu



Majlis Memperkenalkan Jersi Dan Penaja Serta Pemain Pasukan Ragbi UiTM Lions Musim 2019 Kejohanan Liga Ragbi Malaysia-Divisyen Premier telah berlangsung di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam.
SHAH ALAM: Pasukan Ragbi Univesiti Teknologi MARA (UiTM) Lions mempertaruhkan 21 muka baharu untuk beraksi dalam Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019, yang akan membuka tirai pada 17 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohammad Said berkata, walaupun 70 peratus pemain adalah muka baharu serta pertama kali beraksi dalam liga berkenaan, UiTM Lions tetap optimis mampu memenuhi sasaran untuk beraksi di pentas akhir.

“Untuk musim 2019, sasaran kita sekurang-kurangnya untuk beraksi di pentas akhir dan jika boleh kita inginkan kejuaraan. Kali terakhir kita ke pentas akhir adalah pada musim 2013 serta tempat keempat pada musim 2017.

“Selain 21 muka baharu yang juga mahasiswa UiTM, pasukan kita turut diperkuatkan dengan lima bekas mahasiswa UiTM, termasuk pemain ragbi kebangsaan, Mohd Syahir Asyraf Rosli.

“Kekuatan UiTM Lions turut diperkukuhkan dengan empat pemain import dari Fiji iaitu Are Monoka, Lepani Likusuasua Peremo Tuivanuavou, Peceli Davobalavu dan Iowane Teba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penaja UiTM Lions 2019 di Pusat Sukan UiTM, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UiTM Lions, Zamri Abd Kahar berkata, walaupun UiTM Lions diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay serta UPM Angels dan SSTMI Tsunami, namun beliau yakin mampu melepasi peringkat kumpulan.

“Kita berpengalaman dalam menentang UPM Angels dan Keris Conlay sebelum ini, malah kita sudah mengkaji keupayaan kedua-dua pasukan ini. Jika kita berjaya melepasi pusingan pertama, laluan seterusnya akan lebih mudah.

“UiTM Lions sudah melalukan persiapan rapi sejak Disember lalu dan pemilihan pemain dibuat menerusi latihan dan penilaian yang ketat,” katanya.



Oleh: Norzamira Che Noh

Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2019/02/528791/uitm-lions-pertaruh-21-pemain-baharu

0
0