UiTM lantik dua pelajar jadi ahli senat

Naib Canselor UiTM, Professor Dr Mohd Azraai Kassim dan TNC Hal Ehwal Pelajar, Professor Dr Azizan Abdullah bersama Muhamad Afiq Hariz Khatem dan Nurul Fatiha Norsip di UiTM Shah Alam. Foto: NSTP/Saddam Yusoff

SHAH ALAM 18 Jun – Selepas Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kini giliran Universiti Teknologi Mara (UiTM) melantik dua pelajarnya sebagai ahli senat berkuat kuasa 1 Julai ini.

Mereka ialah Nurul Fatiha Norsip dan Muhamad Afiq Hariz Khatem.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Ir. Dr. Azraai Kassim berkata, langkah tersebut adalah selaras dengan hasrat dan galakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk memperkasakan pemberdayaan serta keterangkuman dan pengupayaan pelajar dalam proses pengurusan universiti.

“Sebagai Naib Canselor, saya menggunakan kuasa yang diberi berdasarkan Seksyen 16A(5) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) untuk melantik dua orang pelajar sebagai Ahli Senat UiTM.

“Antara syarat menjadi ahli senat, calon mestilah pelajar UiTM sepenuh masa peringkat ijazah sarjana muda, mendapat minimum purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75.

Nurul Fatiha Norsip, Bendahari MPP UiTM Shah Alam dan Muhamad Afiq Hafiz Khatem, Penolong Naib Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam

Pelajar juga hendaklah aktif dalam kepimpinan sama ada melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), jawantkuasa perwakilan kolej, badan beruniform atau Sekretariat Mahasiswa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, perlantikan tersebut diharap mampu mewujudkan dasar UiTM yang lebih mesra kepada aspek menjaga kepentingan pelajar secara menyeluruh. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Abdul Razak Idris
Sumber:http://www.utusan.com.my/pendidikan/uitm-lantik-dua-pelajar-jadi-ahli-senat-1.919667

0
0