UiTM kukuh penguasaan bahasa Mandarin pelajar

Oleh Ruwaida Md Zain (bhnews@bh.com.my)
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said (dua kiri) bertukar dokumen dengan Penolong Naib Canselor (Akademik dan Antarabnagsa) Universiti Malaya Profesor Dr Kamila Ghazali (dua kanan) di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Univeristi Teknologi Mara (UiTM) dengan Institut Kong Zi, Universiti Malaya di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Univeristi Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Turut serta Dekan Pengajian Bahasa Univeristi Teknologi Mara (UiTM) Profesor Madya Dr Ahamd Mazli Muhammad (kiri) dan Pengarah Kong Zi Universiti Malaya Cheng Zhong (kanan). – Foto NSTP/Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Penguasaan lebih daripada satu bahasa adalah pemangkin yang bakal membawa pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke tahap lebih tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata penguasaan bahasa bukan saja membabitkan urusan harian tetapi juga dalam pelbagai bidang hingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM dan Institut Kong Zi, Universiti Malaya (UM) hari ini bukan saja memberi peluang pelajar UiTM mengukuhkan penguasaan bahasa Mandarin, malahan juga kefahaman terhadap budaya masyarakat Cina.

“Saya harap ahli akademik akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam bidang pedagogi, penerbitan buku dan bekerjasama dengan ahli akademik UiTM menjalankan penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memorandum Perjanjian (MoA) UiTM dan Institut Kong Zi, Universiti Malaya (UM) hari ini, yang ditandatanganinya mewakili UiTM manakala UM diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr Kamila Ghazali.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Kong Zi UM, Datuk Dr Azarae Idris; Pengarah Institut Kong Zi UM, Chen Zhong dan Penaung Malaysian Association Language Testing (MALT), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid.

Hassan berkata, walaupun kontrak tiga tahun ditandatangani hari ini, pengajaran bahasa Mandarin sudah dimulakan 1 September lalu, membabitkan dua pensyarah dari institut itu.

“Bermula semester ini, jumlah pensyarah yang menyumbang tenaga meningkat kepada 10 orang.

“Bagaimanapun, memandangkan UiTM mempunyai ramai pelajar, kami memerlukan lebih ramai tenaga pengajar dan ia akan dibincangkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Dr Kamila berkata, Institut Kong Zi sudah mengajar lebih dari 11,000 pelajar sejak penubuhannya Julai 2009.

“Saya harap kerjasama ini berterusan bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa Mandarin dalam kalangan pelajar bukan Cina,” katanya.

Pada majlis sama, UiTM turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MALT bagi mencapai kecemerlangan dalam ujian dan penilaian pelbagai bahasa di Malaysia.

 

Sumber:

https://www.bharian.com.my/node/259988

0
0