SHAH ALAM, 12 Jun 2024 – Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024 mengukur kejayaan institusi dalam menyasarkan 17 SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berdasarkan impaknya terhadap komuniti dan masyarakat. Pada tahun ini, UiTM memperoleh markah keseluruhan sebanyak 85.6 dan mengekalkan kedudukan pada tangga 101-200 di dunia. UiTM merupakan salah sebuah daripada 1,963 universiti yang disenaraikan dalam penarafan tersebut, dengan peningkatan sebanyak 372 universiti berbanding tahun sebelumnya.
Daripada lapan SDG yang disertai untuk tahun ini, Kesamaan Jantina (SDG5) menjadi skor terbaik UiTM dengan berada pada kedudukan ke-46 di dunia dan meletakkan UiTM pada kedudukan 50 universiti terbaik di dunia untuk SDG ini. Seterusnya, diikuti oleh SDG 1 “Kemiskinan Sifar” dan SDG17 “Perkongsian Matlamat” telah meletakkan UiTM dalam kedudukan 200 Teratas di dunia. UiTM juga berada di antara 300 Teratas bagi tiga SDG, iaitu SDG4 “Pendidikan Berkualiti”, SDG7 “Tenaga Hijau dan Mampu Milik”, serta SDG16 “Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh”.
Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, Naib Canselor UiTM, mengulas, “Ini adalah tahun keempat UiTM berjaya mengekalkan kedudukan dalam kalangan 200 Teratas di dunia dalam pembangunan mampan. Justeru, UiTM akan terus komited ke arah mencapai kecemerlangan melalui penyelidikan serta pendidikan berimpak, dan kemampanan kekal menjadi tumpuan utama UiTM dalam pelan strategik UiTM2030.”
Galeri Poster: