UiTM Ke City University College Of Ajman (CUCA) Memperkukuh Jaringan Antarabangsa

Ajman, UAE, 16 Mei 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menjalinkan hubungan dua hala dengan City University College of Ajman (CUCA). Lawatan kerja tersebut adalah sebagai  kolaborasi jaringan antarabangsa yang lebih erat dengan universiti di timur tengah (UAE) berdasarkan kepada Konsep 3 Degree of  Separation ke arah mempertingkatkan reputasi UiTM.

Lawatan kerja yang dihadiri oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, bersama delegasi UiTM iaitu Profesor Dr Haryani Haron, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Profesor Madya Dr. Amirul Afif Muhamat, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan Ts. Dr. Hayati Abd. Rahman, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Komunikasi telah disambut oleh Imran Khan Presiden CUCA bersama Salma Senaran, Pengarah Pengambilan Pelajar, Anas Al-Kassab, Pegawai Pengambilan Pelajar dan Antarabangsa dan Saadiah, Pegawai Sumber Manusia dan Pentadbiran.

CUCA merupakan universiti swasta yang telah ditubuhkan pada 2011 dan mendapat akreditasi dari Kementerian Pendidikan Hal Ehwal Pendidikan Tinggi yang menyediakan program akademik berkualiti tinggi dan moden sejajar dengan UAE dan pasaran kerja antarabangsa. Selain 118 program yang ditawarkan mengikut Model Sistem Pendidikan Amerika Syarikat, CUCA turut memperoleh 5 bintang dalam Kecemerlangan QS untuk pembelajaran dalam talian.

Lawatan kerja ini merupakan susulan daripada kerjasama menerusi perjanjian persefahaman antara dua universiti tersebut yang terjalin di Ekspo Dubai 2020 pada Disember 2021. Dalam memanfaatkan peluang kerjasama ini, lima (5) penekanan dibincangkan iaitu projek penyelidikan dan inovasi dengan penglibatan penyelidik dari universiti lain sebagai rakan kolaborasi antarabangsa, pertukaran pelajar, webinar/persidangan, penawaran program dan inisiatif memperkukuh kolaborasi antara negara demi ketampakan universiti.

Penawaran program berkaitan dengan teknologi dalam bidang Artificial Intelligence (AI), Keselamatan Siber dan Analisis Data membantu universiti dalam melahirkan pelajar yang sentiasa relevan dengan keperluan serta permintaan industri dan dunia. Kolaborasi ini dimantapkan lagi dengan adanya penubuhan Pusat Pengembangan Kerjaya (Career Advancement Centre) yang menganjurkan kursus pendek dan persijilan dari industri seperti Microsoft, Oracle, Cisco, SAS, EC Council dan Huawei. Lantikan profesor adjung juga antara usaha universiti untuk mempelajari dan memperbaiki kemajuan universiti dari segi mendapatkan nasihat dalam bidang pembelajaran dan penyelidkan secara berterusan.

Menurut Naib Canselor, “pendedahan kepada pengalaman dan strategi pengendalian tadbir urus bagi memastikan universiti kekal relevan dan mendapat pengiktirafan dunia sangat berguna untuk diteladani. Selain itu, usaha ini juga dapat mempromosikan UiTM kepada negara timur tengah.”