UITM juara keseluruhan Kejohanan Golf Antara Staf Universiti Awam

PESERTA kejohanan dan pegawai UITM bergambar pada Majlis Makan Malam Meraikan Kejayaan Sebagai Juara Keseluruhan Kejohanan Golf Antara Universiti Awam 2019 di Kedah baru-baru ini. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 24 Sept. – Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Antara Staf Universiti Awam (UA) Ke-47 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 7 dan 8 September lalu.

UiTM dinobatkan juara keseluruhan selepas mengutip tiga Pingat Emas, satu Pingat Perak dan tiga Pingat Gangsa.

Menurut Pegawai Media Pusat Unit Sukan UiTM, kali terakhir pasukan UiTM memenangi kejohanan tersebut adalah pada tahun 2009.

Pingat Emas UiTM dimenangi melalui kategori Nett Berpasukan, Nett Individu dan UA Berpasukan, Pingat Perak melalui kategori Gross Berpasukan manakala Pingat Gangsa dimenangi melalui kategori Nett Berpasukan, Nett Individu serta Jemputan Berpasukan.

“Kejohanan selama dua hari itu berlangsung di tiga lokasi iaitu Kelab Golf dan Rekreasi UUM, Darulaman Golf & Country Club di Jitra dan Cinta Sayang Golf & Country Club di Sungai Petani dengan mempertandingkan pelbagai kategori iaitu kategori Gross Individu, Gross Berpasukan, Nett Individu, Nett Berpasukan, VIP Individu dan VIP Berpasukan, UA Berpasukan dan kategori jemputan melibatkan seramai 320 pemain golf dari universiti awam (UA) seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Muda Kedah Darul Aman, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut berkenan berangkat ke majlis penyampaian hadiah pada majlis santapan malam penutup kejohanan di EDC Hotels & Resorts, Sintok.

Shahrin berkata, Kejohanan Golf UA tersebut merupakan salah satu acara sukan tahunan universiti awam Malaysia sejak tahun 1973 yang mana penganjurannya dijalankan secara giliran.

“Kejohanan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan universiti awam dan membuka pelbagai ruang kerjasama dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, UITM turut diisytiharkan sebagai tuan rumah edisi ke 48 yang akan berlangsung tahun hadapan 2020. – UTUSAN ONLINE

Sumber:
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/uitm-juara-keseluruhan-kejohanan-golf-antara-staf-universiti-awam-1.975919

0
0