UiTM idam berada di kedudukan empat terbaik Liga Perdana

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said (tengah) yang juga Presiden UiTM FC bersama pemain dan pegawai pasukan pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Pasukan bagi musim 2019. -BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Jan.- UiTM FC meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana 2019 yang akan bermula Sabtu ini.

Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata pihaknya turut menyasarkan untuk layak ke final Piala FA dan pusingan kedua Piala Malaysia.

“Kami yakin dapat memenuhi sasaran berkenaan dengan kemasukan empat pemain import yang baharu, masing-masing seorang dari Brunei, Senegal, Uganda dan Montenegro yang akan tiba di Malaysia dalam beberapa hari lagi,” katanya selepas majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain UiTM FC untuk saingan Liga Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said (tiga dari kiri) bersama pemain tempatan dan import Robert Waly (kanan), Agele Benard (tiga dari kanan) melihat jersi baharu pada Majlis Memperkenalkan jersi dan pemain pasukan UiTM FC 2019 di Dewan Sri Budiman UiTM, Shah Alam. – Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, berkata pasukannya menampilkan lebih 50 peratus muka baharu bagi menghadapi saingan mencabar musim ini.

“Hanya 10 pemain daripada 29 pemain pasukan tahun ini merupakan muka lama yang bermain pada musim lepas manakala bakinya adalah muka baharu, termasuk pemain import,” katanya.

Ismail turut yakin dia tidak akan berdepan masalah untuk melatih pasukan itu yang kebanyakannya dibarisi pelajar universiti berkenaan.

“Mereka ini ‘pemain yang berfikir’ dan cepat belajar tetapi mereka perlu pendedahan yang luas, sebab itu kita banyak adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Super seperti Selangor dan Melaka United,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UITM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said (tengah) bersama penaja ketika Majlis memperkenalkan jersi dan pemain pasukan UiTM FC 2019 di Dewan Sri Budiman UiTM, Shah Alam. – Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

UiTM FC bakal menggunakan jersi ungu sebagai jersi utama dan jersi merah sebagai jersi kedua jenama Puma.

Skuad The Lion Troops akan memulakan saingan Liga Perdana 2019 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini.

Musim lalu, UiTM FC berjaya menduduki tangga kesembilan daripada 11 pasukan dalam saingan Liga Perdana. – UTUSAN ONLINE

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/uitm-idam-berada-di-kedudukan-empat-terbaik-liga-perdana-1.831363#ixzz5dx5FgCcB
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0