KLANG, 14 Disember 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Perdana telah menganjurkan program “Dokumentasi dan Perkongsian Memori: Komuniti Kampung Budiman” sebagai inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM). Mahasiswa berpeluang berinteraksi dengan komuniti dan berkongsi pengetahuan serta kemahiran yang dipelajari di dalam kuliah.
Program bertempat di Pusat Smart Desa, Balai JPKK Kampung Budiman, Selangor, memfokuskan pengumpulan data, dokumentasi, dan perkongsian tradisi, cerita, dan memori tokoh-tokoh Kampung Budiman sebagai rujukan generasi akan datang. Sebelum program, mahasiswa menemu bual empat tokoh komuniti: En. Azman Bin Miskam (mantan Ketua Kampung Budiman), Puan Rosni Husin dan En. Zanail Bin Samsuri (pesara guru), dan Puan Siti Zarah Razali (Setiausaha JPKK Kampung Budiman).
Program turut dimeriahkan dengan perkongsian warisan seperti alatan muzik, makanan, dan adat oleh warga Kampung Budiman. Ts. Azharul Azmir Kamarulzaman, Pengarah World Heritage Moving Image Centre, berkongsi ilmu mengenai teknik pendokumentasian sejarah lisan dan warisan komuniti dan kampung.
Seramai 27 mahasiswa semester 5 kursus IMR621 (Sejarah Lisan dan Dokumentasi Warisan Budaya) dan pensyarah penasihat Dr Hanis Diyana Kamarudin menjayakan program ini. Program turut dihadiri Dr Husain Hashim (Ketua Pengajian Sains Maklumat), En. Imran Bin Kairon (Pengerusi JPKK Kampung Budiman), Dr Faridah Noor Mohd Noor (Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Lisan Malaysia), dan AJK JPKK Kampung Budiman.
Menurut En. Imran bin Kairon, “Usaha ini amat dihargai kerana ia bukan sahaja menghubungkan generasi muda dengan sejarah kampung, tetapi juga memupuk rasa bangga terhadap identiti dan budaya kita”.
Program SULAM 2024 bertujuan memperkasa masyarakat melalui aktiviti sukarelawan dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Keempat dan Kesebelas, serta menyokong visi Malaysia Madani.