UiTM hantar bantuan kepada staf yang dilanda banjir

KOTA SAMARAHAN – Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr. Jamil Haji Hamali, diiringi oleh Timbalan Rektor HEA & A, Prof. Dr. Firdaus Abdullah telah menghantar bantuan kepada staf UiTM Cawangan Sarawak yang terjejas oleh bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak baru-baru ini. Turut serta dalam program penyampaian sumbangan ini ialah Presiden Kelab Kakitangan UiTM Sarawak (KEKITA), Dr. Kamarudin Jara’ee serta kakitangan yang lain.

Sumbangan ini disampaikan sendiri oleh Prof. Dato Dr. Jamil Haji Hamali di empat buah rumah staf UiTM Cawangan Sarawak yang terletak di Kampung Sourabaya, Kampung Bintawa dan Kampung Panglima Seman, serta lima buah lagi rumah staf di sekitar Kampung Rantau Panjang. Bantuan yang diberikan ini berbentuk makanan dan wang tunai yang diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang mereka hadapi.

Di samping itu, Prof. Dato Dr. Jamil Haji Hamali juga mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan di sekitar kediaman staf yang terkesan dengan bencana banjir ini. Beliau juga berharap agar mereka sentiasa menjaga keselamatan keluarga masing-masing ketika banjir. Inisiatif ini menunjukkan bahawa UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan tidak hanya prihatin terhadap keluh kesah pelajarnya, tetapi juga mengambil berat tentang kebajikan staf yang menghadapi musibah.