UiTM disaran bekerjasama dengan kerajaan negeri

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama atlet dari 27 buah Universiti luar negara selepas merasmikan merasmikan Fiesta Sukan Antarabangsa Ke-13(UISF 2018) UiTM di Stadium Hoki, Kompleks Sukan UiTM Shah Alam. – Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) disaran bekerjasama rapat dengan kerajaan Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menganjurkan pelbagai program yang bersifat antarabangsa pada masa hadapan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, antara program yang boleh dilaksanakan termasuk seminar, forum serta sukan yang membabitkan penyertaan dari negara luar.

 Menurutnya, pelbagai manfaat boleh dinikmati bersama apabila semua pihak berganding bahu terutamanya bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara jiran untuk datang ke negeri ini.
“Pelbagai tempat menarik di negeri ini untuk dilawati pelancong dari negara luar khususnya di Shah Alam seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muzium Negeri, i-City dan banyak lagi. Bagaimanapun, saya ingin ucapkan tahniah kepada UiTM kerana berjaya menganjurkan fiesta sukan dan mempromosikan Shah Alam sejak 13 tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Fiesta Sukan Antarabangsa Ke-13(UISF 2018) UiTM di sini, malam ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said.

UISF 2018 yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini disertai 27 universiti dari lapan negara iaitu Filipina, Brunei, Indonesia, Sri Langka, Singapura, Nepal , Pakistan dan Malaysia selaku tuan rumah.

Kira-kira 850 atlet dan pegawai terbabit dengan kejohanan ini yang mempertandingkan acara seperti ragbi, futsal, bola keranjang, badminton dan tenis.

Dalam pada itu, Amirudin menggesa semua peserta untuk mempamerkan semangat kesukanan tinggi di dalam kejohanan berkemaan.

“Saya berharap semua dapat berusaha dan melakukan yang terbaik dan apabila kurang bernasib baik, jangan pernah putus asa untuk mencuba lagi kerana dalam kehidupan sebenar ada juga jatuh dan bangunnya,” katanya.

 

Oleh: Siraj Mohd Zaini
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/456839/uitm-disaran-bekerjasama-dengan-kerajaan-negeri

1
0