UiTM dan Universitas Andalas Jalin Kerjasama Strategik Melalui Letter of Intent

PUNCAK ALAM, 30 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani Letter of Intent (LoI) dengan Universitas Andalas (Unand), Indonesia, membuka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan keilmuan.

Majlis penandatanganan disempurnakan oleh Assoc. Prof. Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi dari UiTM dan Prof. Dr. Ir. Is Prima Nanda dari Universitas Andalas, yang merupakan hasil lanjutan perbincangan pada Oktober 2024.

Menurut Assoc. Prof. Ts. Dr. Emma Marinie, kerjasama ini bertujuan meningkatkan keterlihatan UiTM di peringkat antarabangsa. “Inisiatif ini berpotensi memberi impak besar kepada kedua-dua institusi dan masyarakat umum melalui inovasi yang dihasilkan,” katanya.

Kerjasama strategik ini meliputi pelbagai inisiatif termasuk pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan pembangunan inovasi. Prof. Dr. Ir. Is Prima Nanda menekankan bahawa langkah ini dapat meningkatkan reputasi antarabangsa universiti.

Rombongan Universitas Andalas dijangka mengadakan lawatan susulan pada 21 dan 22 Februari 2025 untuk Program Portfolio Review di Pusat Pengajian Senibina, UiTM Puncak Alam.

Majlis turut dihadiri oleh Dr. Hailane Salam, Ketua Program Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman, bersama pensyarah kanan dan wakil delegasi Universitas Andalas, menandakan hubungan akademik yang semakin kukuh antara kedua-dua institusi.

Kerjasama ini selaras dengan matlamat UiTM untuk memperkasakan peranan universiti dalam memajukan ilmu pengetahuan dan teknologi di rantau ini.

Penulis – Tengku Anis Qarihah bt Raja Abdul Kadir