UITM dan Tiquar Enterprise Jalin Kerjasama Tingkatkan Minat Pelajar Dalam Stem Melalui Pertandingan F1 in Schools

SHAH ALAM, 8 OKTOBER 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Tiquar Enterprise, pemegang lesen rasmi F1 in Schools Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Majlis yang berlangsung di Pejabat Canseleri UiTM ini menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk mengatasi masalah penurunan minat pelajar dalam aliran STEM di peringkat sekolah menengah melalui platform yang lebih menarik dan interaktif.

Menurut National STEM Movement, tren pelajar memilih bidang STEM selepas Tingkatan 3 semakin merosot. Data menunjukkan bahawa hanya 15.2 peratus calon SPM 2022 mengambil subjek Sains Tulen, dengan 70 peratus daripada mereka gagal atau memperoleh keputusan rendah dalam Matematik Tambahan. Untuk sesi 2023/2024, hanya 62,250 daripada 415,000 pelajar Tingkatan Tiga memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat. Statistik ini memberi kesan besar terhadap penyediaan sumber tenaga mahir dalam bidang STEM yang kritikal untuk mendepani Revolusi Industri 4.0 dan persiapan ke arah IR 5.0.

F1 in Schools, yang diasaskan di UK oleh Andrew Denford pada tahun 2000, merupakan salah satu program yang diterapkan dalam pendidikan STEM di sekolah-sekolah. Pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar untuk merekabentuk dan menghasilkan kereta miniatur berkuasa CO2 yang berlumba di trek sepanjang 20 meter. Selain itu, pelajar juga diajar menggunakan simulasi komputer, pencirian grafik 2D dan 3D, serta pemasaran untuk menjayakan projek mereka melalui kolaborasi dengan rakan industri.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyatakan bahawa program F1 in Schools telah berjaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. “Pasukan Malaysia telah memenangi anugerah khas di F1 in Schools World Finals 2023 di Singapura, manakala pada 2022, pasukan kita berjaya meraih tiga anugerah khas di pertandingan yang diadakan di UK secara hibrid,” ujar beliau. UiTM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan mentor-mentor daripada Kolej Pengajian Kejuruteraan bagi melatih pasukan yang bertanding.

Kerjasama ini melibatkan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM dan Kolej Pengajian Kejuruteraan, yang menggunakan pendekatan Quantiple Helix – lima elemen utama yang menggabungkan akademia, industri, agensi kerajaan, komuniti, dan orang awam. Melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar didedahkan kepada pengetahuan kejuruteraan, teknologi, dan pemasaran sambil berinteraksi dengan rakan strategik dari industri dan pihak kerajaan.

Pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan ini bukan sahaja mendapat manfaat dalam bidang akademik tetapi juga membina kemahiran insaniah, sahsiah diri, dan kepimpinan. Malah, banyak alumni program ini berjaya dalam pelajaran sehingga ke peringkat PhD dan membina kerjaya cemerlang dengan syarikat-syarikat antarabangsa.

MoU antara UiTM dan Tiquar Enterprise diharap dapat memperkukuhkan lagi usaha meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM, selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu memacu pembangunan negara dalam era teknologi dan inovasi yang semakin pesat.