UiTM dan TikTok Memperkasa Agenda Pendidikan Melalui Platform Media Sosial

SHAH ALAM, 14 APRIL 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal meneroka platform media sosial yang tersedia untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan terkini.

MoU yang ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Encik Darren Quek Yi Fong, Pengurus Operasi Strategi TikTok, Malaysia telah disaksikan oleh YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Hj Abdul Kadir Hj Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah, dan juga Encik Conrad Edmund Bateman, Ketua Komunikasi TikTok Malaysia, Singapura dan Filipina. Timbalan Naib Canselor UiTM [Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN)], Prof. Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah turut hadir ke majlis tersebut yang diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Seiring dengan penubuhan UiTM dalam pemerkasaan agenda pendidikan kebangsaan, persefahaman ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan kerjasama strategik dan memperkasa penggunaan aplikasi TikTok sebagai satu platform perkongsian ilmu. TikTok adalah sebuah perkhidmatan rangkaian sosial dan platform video pendek yang amat terkenal di seluruh dunia.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor berpendapat, kolaborasi yang dijalin ini bertepatan dengan aspirasi UiTM untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan industri gergasi dalam mempelopori arena pendidikan moden melalui platform media sosial.

Menurut beliau, “Dengan reputasi Tiktok yang mempunyai lebih 1 bilion pengguna setakat Mac 2022, pastinya kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang untuk memperhebatkan pengajaran dan pembelajaran khususnya secara jarak jauh dan terbuka. Ini adalah selari dengan konsep Education 5.0 @ UiTM untuk menyediakan pendidikan yang bersifat lebih fleksibel selaras dengan peralihan dan trend teknologi yang terkini”.

Pada tahun 2021, UiTM Cawangan Sabah telah memperkenalkan TikTok Guru Bah! dan kerjasama tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan. Melalui memorandum ini, beberapa projek berlandaskan kerjasama UiTM – TikTok akan diperkenalkan dalam skop pendidikan jarak jauh dan terbuka di UiTM selain daripada pendidikan formal semasa sesi kuliah. UiTM berharap usaha ini dapat merubah perspektif umum berkenaan penggunaan media sosial khususnya TikTok dalam gedung pendidikan negara. UiTM percaya kerjasama dengan TikTok ini dapat melahirkan pelajar yang lebih kompetitif, kreatif dan proaktif seterusnya melahirkan sumber manusia yang mampan untuk negara.