PULAU PINANG, 19 April 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Stereochem Analysis & Services Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Inisiatif ini merupakan hasil usaha Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang untuk memperkukuhkan hubungan dengan industri. MoU ini memfokuskan kepada aspek kajian dan pembangunan inovasi dalam industri sterilisasi khususnya sterilisasi dalam sektor peranti perubatan dan makanan.
Ir Ts Mohamed Syazwan Bin Osman, yang memimpin inisiatif ini bersama rakan-rakan penyelidik di UiTM Cawangan Pulau Pinang dari Pengajian Kejuruteraan Kimia, akan mengawasi pelaksanaan kerjasama ini.
Stereochem Analysis & Services Sdn. Bhd. juga membuka peluang kepada pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk Latihan Industri, seminar, dan bengkel peningkatan kemahiran kerjaya. Ini adalah langkah penting bagi memperkasakan bidang teknologi sterilisasi, terutamanya dalam pembangunan sistem sterilisasi yang mampan.
Pertukaran memorandum ini dilakukan oleh Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang , Prof Ir Dr Haji Ahmad Rashidy Razali bersama dengan En Rais Shahrizzal Bin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Stereochem Analysis & Services Sdn Bhd, serta Prof Madya Ts Dr Kay Dora Abdul Ghani Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, dan Pengarah Urusan Stereochem Analysis & Services Sdn Bhd, En. Mior Ahmad Nizam Bin Ahmad Kilab.
Dijangkakan MoU ini akan merancakkan pelbagai aktiviti yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak, seterusnya menyumbang kepada pembangunan mampan dan kelestarian industri sterilisasi.