Pada 16-18 Disember 2023, seramai empat (4) ahli akademik Universiti Teknologi MARA telah berjaya berkolaborasi dalam Program XPORIA SAINS, “SAINS SITU SANA SINI” 2023 bertemakan “Sains Melangkau Realiti” yang dianjurkan oleh Pusat Sains Negara Kuala Lumpur, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi . Para ahli akademik ini telah berjaya membuat persembahan sains yang menakjubkan yang menjadi keterujaan kepada majoriti pelajar dari pelbagai peringkat umur khususnya murid dari sekolah rendah dan sekolah menengah serta orang dewasa. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Pusat Sains Negara, YBrs. En. Mohammad Fuad Rahman dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Seramai 19, 490 orang peserta hadir memeriahkan program ini selama tiga (3) hari termasuk kanak-kanak dan dewasa. Program ini telah diadakan selama tiga (3) hari pada musim sekolah bagi menarik minat dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu sains kepada masyarakat dan komuniti.
Peserta juga telah diberi peluang untuk mencuba sendiri pelbagai experimen sains yang menakjubkan seperti experimen Endothermic, Simple Electricity, Surat Rahsia, Ketumpatan Cecair, Daya Tarikan Graviti Bumi dan Pembiasan Cahaya. Para saintis ini juga telah memberikan penerangan yang jelas dan demonstrasi experimen yang sangat menarik kepada para peserta sekaligus dapat meningkatkan ilmu pengetahuan sains asas serta memahami praktis sains dalam kehidupan seharian. Para ahli akademik ini adalah terdiri dari Dr. Hussein Hanibah, Dr. Nor Zakiah Nor Hashim, Ts. Dr. Nur Aliana
Hidayah Mohamed dan Dr. Siti Khatijah Deraman. Para penyelidik ini juga adalah Pensyarah Kanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil dan UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh.
Objektif utama program ini adalah bagi memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan rakyat Malaysia terhadap bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Pelbagai Ilmu sains boleh diaplikasikan di dalam kehidupan seharian dan akan sentiasa dipraktiskan dari pelbagai peringkat sekolah, universiti bahkan diperingkat yang lebih tinggi dipersada dunia. Penganjuran program ini adalah penting sebagai salah satu medium perkongsian ilmu, kepakaran, dan penyemarak budaya sains sekaligus mampu meningkatkan perkembangan professional dikalangan ahli akademik dan kerjasama di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pusat Sains Negara di masa hadapan.
Penulis : Hussein Hanibah, Nor Zakiah Nor Hashim, Nur Aliana Hidayah Mohamed, Siti Khatijah Deraman