UiTM Dan Lazada Memperkasa Usahawan Muda Malaysia Melalui Lazada4youth

SHAH ALAM, 11 APRIL 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Lazada Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di majlis pelancaran Lazada4Youth, yang menyaksikan suatu perkongsian strategik dalam memperkasakan golongan belia dengan memupuk minat dan menggalakkan penyertaan lebih kukuh dalam perdagangan digital. Lazada4Youth melibatkan beberapa siri bengkel untuk usahawan digital muda dengan peluang sebagai penjual baharu atau ahli pemasaran digital di platform yang disediakan.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah berlangsung pada 11 April 2022 di UiTM Kampus Puncak Alam antara Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor dan Encik Cheang Kiat Cheong, Ketua Pegawai Kewangan Lazada Malaysia, di hadapan Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Semasa berucap melancarkan Lazada4Youth, Dato’ Seri Abdul Razak berkata, “Keterlibatan dalam program ini akan memberi pendedahan baru dan menambah pengalaman berharga pelajar universiti bagi membina peluang kerjaya pada masa hadapan bersama pemain industri terkemuka seperti Lazada.” Tambahnya, ini adalah selaras dengan inisiatif KPT “Entrepreneurship-Integrated-Education (EIE)” yang menumpukan kepada pembentukan sinergi ekosistem keusahawanan berimpak tinggi yang holistik dan menekankan inovasi berasaskan teknologi bersama pelbagai rakan strategik.

Menurut Prof. Datuk Roziah, bagi merangsang keupayaan keusahawanan digital yang lebih kukuh, UiTM secara konsisten mencari jalan untuk menyediakan platform yang lebih baik untuk memupuk dan menggiatkan bakat baharu dalam bidang tersebut. Bersama Lazada4Youth, UiTM akan menjadi pemangkin untuk mengembangkan potensi pelajar dan seterusnya memupuk pemimpin masa hadapan.

Encik Cheang berkata Lazada4Youth berusaha membantu merapatkan jurang digital dengan menyediakan usahawan muda dengan kemahiran yang mereka perlukan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan, serta menggalakkan mereka berkongsi pengetahuan yang baru mereka perolehi. Dengan Lazada, usahawan muda akan menemui lebih banyak cara untuk membina model yang lebih inklusif dan mampan untuk perniagaan mereka sendiri, sambil menggerakkan pertumbuhan ekonomi digital tempatan.

Setelah selesai bengkel Lazada4Youth, peserta yang telah bersedia dan mampu menjual produk mereka secara dalam talian boleh menggunakan platform Lazada di bawah Pakej “Hari-Harimau New Seller Kickstarter Package 2022”, dengan bayaran komisen sifar di atas faedah lain, termasuk pembayaran 2% pengecualian yuran dan kredit iklan percuma RM150. Pasukan pakar yang berdedikasi juga akan membimbing usahawan digital yang bercita-cita tinggi untuk memastikan proses induksi yang mantap, terutamanya dalam tempoh tiga bulan pertama dengan Lazada. Sebagai alternatif, mereka boleh memilih untuk mendaftar dalam Program Pemasaran Gabungan yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan dengan mengoptimumkan media sosial mereka.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pengangguran belia mencapai peratusan yang membimbangkan iaitu 12.5% pada 2020, meningkat daripada 10.5% pada 2019. Bilangan pengangguran rakyat Malaysia, termasuk graduan dengan kelayakan peringkat pengajian tinggi meningkat sebanyak 22.5% dalam tempoh satu tahun sahaja kepada lebih 200,000 pada 2020. Dengan pendapatan e-Dagang Malaysia melonjak naik sebanyak 23.3% tahun ke tahun kepada RM267.6 juta, Lazada4Youth direka untuk melengkapkan belia tempatan dengan kemahiran digital secara langsung untuk mengoptimumkan potensi sumber pendapatan dalam skop eDagang.

Pada masa hadapan, Lazada4Youth akan terus dibangunkan dan dilancarkan di seluruh negara dengan mendekati pelajar di kampus UiTM lain di wilayah Selatan dan Utara, serta Malaysia Timur, diikuti dengan penglibatan dengan universiti tempatan lain di Malaysia.