UiTM Dan Koperasi Wena Selangor Berhad (KOWENA) Membantu Usahawan Wanita Mengembangkan Perniagaan

SHAH ALAM, 8 APRIL 2022- Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM dan Koperasi WENA Selangor Berhad (KOWENA) bagi program Digital Marketing Masterclass telah diadakan hari ini sempena meraikan Hari Wanita pada Mac yang lalu. Perjanjian ini dimeterai oleh Naib Canselor, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Pengerusi KOWENA iaitu Puan Radziah Mohd Radzi. Acara ini menyaksikan kedua-dua ikon wanita tersebut berjaya membantu para usahawan wanita meningkatkan pengetahuan mengenai pemasaran secara digital yang kini menjadi kepentingan dalam setiap perniagaan sama ada berskala kecil mahupun skala besar.

UiTM, melalui pusat tanggungjawab Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) mempunyai misi jelas dalam usahasama ini dengan menjalankan program Digital Marketing Masterclass (DM22) yang akan dijalankan secara dalam talian. Kelas ini mempunyai 10 modul yang merangkumi Build Marketing Plan, Content Marketing, Facebook MARKETING, Instagram Marketing, TikTok Marketing, Google Marketing, YouTube Marketing, Creating Website, Ecommerce WooCommerce dan Email & Mobile Marketing.

Pengerusi KOWENA berkata, “Masih banyak koperasi yang tidak menguasai penggunaan digital, dan ini memberi peluang kepada KOWENA untuk memperkasakan Koperasi di Malaysia dalam pemasaran secara digital”.

Tambahnya lagi, “pengalaman kami dalam membuat program jangkauan komuniti, wanita dan belia memberikan KOWENA peluang untuk mempromosikan Masterclass ini dengan pihak berkepentingan untuk menaiktaraf skil pemasaran digital lebih lagi di kalangan belia untuk mendapatkan program lengkap dengan sijil yang diiktiraf”.

Manakala, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor pula menyatakan “UiTM percaya, menerusi jaringan kerjasama yang dijalin bersama rakan industri ini secara langsung dapat mengetengahkan usahawan wanita yang berpengalaman untuk menjadi jurulatih dan mentor kepada usahawan wanita lain dengan membantu mengembangkan perniagaan mereka”.

Harapan daripada perjanjian ini adalah agar hasrat UiTM dan KOWENA dapat memberi sumbangan pembangunan kepada usahawan wanita supaya bermotivasi untuk berjaya dalam perniagaan dan sekaligus mewujudkan satu hubungan baik antara kedua-dua pihak. Semoga peluang yang ditawarkan ini menjadi satu titik tolak kepada perubahan hidup para usahawan wanita yang bercita-cita tinggi dalam bidang perniagaan.

Majlis ini turut dihadiri oleh Prof. Dr. Azizul Halim Yahya selaku Ketua Eksekutif, Pengarah-pengarah Jabatan dari Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah KOWENA.