UiTM Dan Jeonbuk National University Jalin Kerjasama Memperkasa Program Mobiliti Pelajar Antara Dua Negara

SHAH ALAM, 29 JULAI 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani perjanjian dengan Universiti Kebangsaan Jeonbuk (JBNU), salah sebuah universiti awam terkemuka dari Jeonju, Korea Selatan. Sebagai universiti kebangsaan utama di Wilayah Jeollabuk-do, JBNU diasaskan pada tahun 1947 melalui penggabungan strategik antara Iri Agricultural College, Jeonju Myeongnyun College dan Gunsan College yang kini melahirkan 17 kolej, termasuk Fakulti Pentadbiran Dasar Awam dan Sekolah Pengajian Antarabangsa Jimmy Carter. Ia turut mempunyai pusat pengajian siswazah yang terdiri daripada sembilan pusat khusus dan empat pusat profesional. Dengan angka 32,000 pelajar, Jeonbuk National University menyediakan pelajar dengan kemudahan pendidikan dan penyelidikan yang berkualiti tinggi, hasil usahasama dengan pelbagai institusi pendidikan di seluruh dunia.

Perjanjian bersama yang ditandatangani oleh UiTM dan JBNU bertujuan untuk memudahkan program pertukaran pelajar yang lancar bagi kedua-dua universiti. Kerjasama itu diketengahkan pada majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin hari ini. UiTM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, manakala Universiti Kebangsaan Jeonbuk diwakili Naib Presiden universiti, Profesor Dr Jaebaek Lee.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor menyuarakan bagaimana “trend pertumbuhan yang menjanjikan dalam usaha niaga Korea seperti peruncitan, perniagaan F&B dan gaya hidup telah menimbulkan kepentingan mempelajari dan menguasai bahasa Korea, kerana bahasa tersebut kini merupakan salah satu yang paling dicari selepas bahasa asing lain yang ditawarkan oleh UiTM melalui Akademi Pengajian Bahasa”.

“Oleh itu, disebabkan peningkatan populariti bahasa Korea dan budayanya di kalangan mahasiswa kami, sudah tiba masanya untuk peluang akademik untuk berhubung dengan JBNU. MoU bersejarah ini merupakan satu lagi peristiwa penting kerana UiTM sentiasa berusaha untuk bekerjasama dengan universiti, organisasi dan industri antarabangsa. Perkongsian dan kerjasama bersama pihak JBNU bukan sahaja mengukuhkan penglibatan untuk penyelidikan mampan masa depan tetapi membolehkan UiTM berada di barisan hadapan, menghasilkan ilmu pengetahuan dan budaya baharu”, tambahnya.

Dijangka bermula pada penggal yang akan datang, melalui projek ini UiTM akan menjalankan pengambilan pelajar yang meluas dan agresif melalui Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa (DIA), merangkumi fakulti dan kolej yang berbeza untuk mendaftarkan pelajar yang layak untuk program pertukaran ke Korea. Justeru, memberi peluang dan pendedahan yang lebih komprehensif kepada pelajar UiTM.

Menerusi Akademi Pengajian Bahasa (APB), kerjasama antara JBNU dan UiTM juga akan menzahirkan hasrat untuk membawa lebih ramai penutur asli bahasa Korea sebagai pensyarah bahasa Korea di APB untuk menambahbaik tawaran kursus-kursus bahasa ketiganya yang sudah bertapak sejak penubuhan APB di UiTM. Justeru, kerjasama itu membuka jalan kepada penambahbaikan penawaran bahasa ketiga dalam sistem pendidikan UiTM.