UiTM Dan BP Healthcare Group Lancar Ujian Genomik Baharu Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 JUL 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan BP Healthcare Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman pada 15 Julai 2022, di Karnival Kesihatan BP di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan melancarkan Perkhidmatan Ujian Genomik UiTM melalui aplikasi Doctor2U dalam Health Wallet terbarunya – Perkhidmatan ini membolehkan pengguna untuk mengakses peta genom peribadi mereka, mengesan keturunan mereka, risiko penyakit dan lebih memahami keadaan kesihatan mereka justeru mereka dapat mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan mereka.

UiTM, dengan misi menyampaikan khidmat nasihat berkaitan ubat-ubatan yang betul untuk kesihatan yang betul kepada masyarakat di seluruh negara, telah menerbitkan buat pertama kalinya satu kertas kerja berkaitan jujukan penuh genom orang Melayu pada tahun 2013 melalui iPROMISE, sebuah pusat penyelidikan terkemuka dalam perubatan genomik. Kertas kerja genom tersebut mendapat perhatian meluas pakar-pakar dalam bidang penjujukan genom, malah telah dianugerahkan geran LRGS daripada KPT untuk membuat jujukan genom masyarakat Orang Asli. Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr Mohd Zaki Salleh telah menubuhkan pangkalan data genomik, dan kejayaan ini diteruskan dengan usaha penubuhan syarikat permulaan UiTM iaitu Zakesy Biotech Sdn. Bhd.

Dengan termeterainya MoU ini, UiTM akan bekerjasama dengan BP Healthcare untuk menyediakan perkhidmatan yang membolehkan individu mengetahui kod genom mereka. Dengan mengenal pasti kod genomik individu, seseorang boleh meramal risiko penyakit dan pencegahan dalam usaha mengekalkan kesihatan yang baik.

Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Roziah menyatakan harapannya agar projek inovatif industri-akademik antara syarikat UiTM, Zakesy Biotech Sdn Bhd dan rakan industri BP Healthcare, akan mencapai kejayaan besar dalam bidang perubatan dan kesihatan. Beliau juga percaya bahawa usaha ini akan menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih sihat.

Dalam ucapan pembukaannya, beliau mengatakan bahawa usaha untuk menjadikan ujian genetik lebih mudah diakses oleh orang ramai harus dipuji memandangkan ‘kami kini bersedia untuk mengalu-alukan hasil manfaat dari penerobosan ujian genetik berteknologi tinggi ini.’

‘Dengan membenarkan ujian genetik dengan lebih mudah, kita boleh menghasilkan ubatan  yang sesuai dengan setiap orang, dan ini merupakan hasrat dalam bidang perubatan untuk mencipta ubat yang tepat kepada orang yang tepat pada waktu yang tepat,’ tambahnya.