Puncak Alam, 7 September 2024 – Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 UiTM Cawangan Selangor, Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan (iCARE) telah menganjurkan Program ‘Semarak Cilik Merdeka’ berkonsepkan jalinan komuniti. Program bertemakan kemerdekaan ini memfokuskan penyertaan kanak-kanak dikalangan komuniti yang bertepatan dengan fungsi dan peranan iCARE. Program diadakan bertujuan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan kanak-kanak khususnya, dan komuniti setempat umumnya melalui penganjuran aktiviti.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik, Pertandingan Peragaan Buasana Kemerdekaan dan Pertandingan Mewarna Kemerdekaan. Ia juga merupakan salah satu platform untuk menghayati bulan kemerdekaan tidak mengira usia dan bangsa, serta memberi peluang kepada kanak-kanak mengekspresikan Jiwa Merdeka mereka. Setiap pemenang yang berjaya telah membawa pulang hadiah wang tunai dan sijil penyertaan.
Hadir menyantuni 99 orang kanak-kanak yang menyertai pelbagai pertandingan, sekaligus menyempurnakan majlis perasmian penutup adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor bersama barisan pengurusan, wakil komuniti serta wakil penaja program. Selain penyertaan pertandingan, pameran bertemakan kemerdekaan turut diadakan bagi memberi pendedahan dan informasi berkaitan Sejarah Malaysia dan kemerdekaannya. Semoga kerjasama dan penglibatan UiTM Cawangan Selangor bersama komuniti dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.