UiTM Cawangan Sarawak Lancar Pusat Food Bank Bantu Pelajar

Pelancaran Food Bank UiTM Cawangan Sarawak telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa UiTM Cawangan Sarawak. Beliau yang menjalankan tugas-tugas Rektor UiTM Cawangan Sarawak turut merasmikan pembukaan FoodBank UiTM Cawangan Sarawak yang terletak berhampiran pejabat Hal Ehwal Pelajar di kampus Samarahan.

Menyahut seruan program UiTM Prihatin yang telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 24 September 2021 yang lalu serta menyokong inisiatif Food Bank Siswa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak kini mempunyai ‘Food Bank’.

Program ini merupakan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Unit Zakat, Sedekah & Wakaf, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Unit Hal Ehwal Islam, Kelab Kakitangan (KEKiTA) UiTM Cawangan Sarawak , Persatuan Wanita (PEWANI) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak serta Majlis Perwakilan Pelajar.

Inisiatif Food Bank Siswa ini bertujuan untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan terutamanya daripada kumpulan B40, sekali gus meringankan kos perbelanjaan seharian mahasiswa yang berada di kolej semasa musim pandemic Covid-19. Inisiatif ini juga akan diperluaskan kepada staf dan komuniti luar.

Program ini berkonsepkan Food Pantry dan akan dikendalikan oleh staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak bersama Unit Zakat, Sedekah & Wakaf serta Majlis Perwakilan Pelajar. Pusat Food Bank ini menempatkan barangan sumbangan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Unit Zakat, Sedekah & Wakaf, dan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan oleh KEKITA, PEWANI, staf dan pelajar melalui inisiatif Jom Kongsi Rezeki dan juga pihak luar.

Program ini juga telah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh pengurusan UiTM Cawangan Sarawak dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada beberapa orang pelajar UiTM Cawangan Sarawak daripada keluarga berpendapatan rendah (B4O) selain turut menerima replika cek daripada rakan kolaboratif untuk kegunaan FoodBank berkenaan.