UiTM Cawangan Sarawak Anjur Program ‘Samarahan Tourism Development Lab’

Program “Samarahan Tourism Development Lab” telah diadakan selama 5 hari bermula 5 April 2021 sehingga 9 April 2021 bertempat di Hotel UCSI, Kuching. Program ini anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berkolaborasi dengan Pejabat Residen Bahagian Samarahan. Program ini dibahagi kepada 2 sesi iaitu Sesi 1 pada 5 -7 April 2021 dan Sesi 2 pada 7-9 April 2021 mengambilkira SOP yang telah ditetapkan. Perhimpunan disertai seramai 300 peserta ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan & swasta, Pejabat Pusat Khidmat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta ketua masyarakat dan Local Champions dari Kawasan DUN N.16 Muara Tuang, N.17 Stakan, N.18 Asajaya, N.24 Sadong Jaya, N.25 Simunjan, N.26 Gedong, N.27 Sebuyau dan N.30 Balai Ringin.

Matlamat utama program ini adalah untuk berkongsi hasil penyelidikan dengan para peserta dan seterusnya merancang pembangunan pelancongan lestari untuk Bahagian Samarahan. Para peserta akan mengenalpasti produk pelancongan yang berpotensi untuk diperkembangkan di kawasan masing-masing selain meningkatkan produk pelancongan yang ada agar sesuai dengan keperluan pasaran sektor pelancongan. Selain itu, mereka juga akan menentukan sistem sokongan yang berkaitan untuk membangun produk pelancongan serta mengusulkan program peningkatan keupayaan untuk masyarakat sejajar dengan ekosistem pelancongan di Bahagian Samarahan.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Ahli Parlimen P200 Batang Sadong merangkap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, menyeru para peserta untuk mengambil peluang yang ada serta menyokong inisiatif kerajaan dalam usaha membangunkan ekonomi masyarakat di Samarahan. Menurut beliau juga, kerajaan sentiasa komited dalam memperbaiki kehidupan serta menjaga kebajikan masyarakat tempatan dalam membangunkan Negeri Sarawak khususnya Bahagian Samarahan.