UiTM Cawangan Sarawak Anjur Kursus Latihan Pengendalian Makanan (LPM)

Institut Wakaf dan Penyelidikan Halal (IWaH) UiTM Cawangan Sarawak telah menganjurkan Kursus Latihan Penyediaan Makanan (LPM) pada 11 April 2021 Ahad bertempat di UiTM Kampus Samarahan 2. Kursus ini pertama kalinya di anjurkan secara bersemuka setelah 7 siri diadakan secara atas talian. Peserta yang menyertai kursus ini adalah seramai 14 orang yang terdiri daripada peserta dari pelbagai industri dan para pelajar dari pelbagai bidang.

Objektif program ini diadakan untuk memenuhi keperluan para pekerja dan pelajar yang akan berkhidmat di dalam industri makanan pada masa hadapan.Tenaga pengajar Kursus Latihan Penyediaan Makanan (LPM) terdiri daripada Pn.Junaidah Mat Jusoh pensyarah dari Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Sarawak dan tenaga pengajar kursus yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penganjuran kursus ini turut dijalankan dengan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Sarawak Disaster Management Comiittee (SDMC) yang melibatkan jumlah peserta yang sangat terhad serta ruang bilik kuliah yang sesuai untuk penjarakkan fizikal.

Majlis penyampaian sijil penyertaan kursus ini telah di sampaikan oleh Dr. Mohd Syahiran bin Abdul Latif selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IWaH kepada semua peserta pada akhir kursus. Diharapkan melalui kursus ini mampu memberi manfaat kepada semua terutamanya kepada para pelajar dan masyarakat.