UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU SERTAI PAMERAN PENDIDIKAN DI SMK TAWAU SEMPENA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2022

TAWAU, 9 JUN 2023 – Sempena  Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah  mengambil bahagian dalam pameran pendidikan yang berlangsung di Dataran Syarifah Katreena Nuraniah, SMK Tawau pada 8 Jun yang lalu.

Wakil dari UiTMCSH Kampus Tawau iaitu Dr. Choo Siow Chin dan Encik Jemat Julaihi Basri, Bahagian Hal Ehwal Akademik telah ditugaskan untuk misi pencarian calon pelajar yang menyasarkan pelajar lepasan SPM 2022 sekolah tersebut.

Pelajar-pelajar yang hadir ke pameran pendidikan UiTM telah didedahkan kepada peluang pengajian UiTM melalui sesi perundingan akademik tentang program-program dan kursus- kursus, syarat kemasukan serta cara permohonan yang disediakan. Secara tidak langsung, pameran pendidikan ini telah berjaya membantu para pelajar lepasan SPM untuk mengenali program- program Pra Diploma dan Diploma serta program- program Ijazah yang ditawarkan oleh UiTM dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu, sesi perundingan akademik yang dijalankan di pameran pendidikan sekolah tersebut  berjaya mencapai objektifnya.  Usaha misi akademik ini  berjaya mengenalpasti beberapa calon pelajar yang memperoleh keputusan kurang memuaskan tetapi memenuhi syarat untuk melanjutkan pengajian di peringkat Pra Diploma. Di samping itu,   beberapa calon pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang juga turut diberi bimbingan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Asasi dan Diploma UiTM.

Sementara itu, saudari Nurul Atirah Patawari, pelajar terbaik Aliran Sains Kemanusiaan berkongsi kegembiraan memperoleh keputusan semua A (7A+, 1A) dalam 8 mata pelajaran yang didudukinya.

Saya sangat bersyukur dan terharu dengan keputusan 8A, selepas ini saya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran peringkat pengajian tinggi di UiTM”, kata Nurul Atirah

Di akhir majlis, Guru Kaunseling, SMK Tawau, Puan Rosdiana Tahang, mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UiTMCSH Kampus Tawau kerana sudi memenuhi jemputan pameran pendidikan yang diadakan.

 “Penglibatan UiTMCSH Kampus Tawau dapat membantu pelajar lepasan SPM 2022, SMK Tawau untuk mengenalpasti kecenderungan bidang pengajian tertentu berdasarkan syarat kemasukan dan kelayakan akademik yang diperolehi”, ujar Rosdiana.

Beberapa Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau dan Politeknik Tawau, Sabah turut menyertai pameran pendidikan  tersebut.