UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU MERIAHKAN KARNIVAL SMK KINABUTAN II

TAWAU: Bersempena dengan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau dijemput untuk mengadakan pameran akademik pada 17 Februari 2023 yang lalu.

Selain UiTM, Institusi Pengajian Tinggi dan Latihan Kemahiran Teknikal dan Vokasional juga turut serta seperti Politeknik Tawau Sabah, Kolej Tingkatan Enam Tawau, GIATMARA Tawau dan badan Sukarela Angkatan Simpanan Tentera Darat Malaysia Rejimen 516 Askar Wataniah Tawau. Majlis perasmian telah dilaksanakan oleh Tuan Haji Sharifuddin Kamarzaman, Pengetua SMK Kinabatangan II, Tawau.

Dalam pada itu, seramai dua orang staf UiTMCSH Kampus Tawau yang diketuai oleh Encik Sulaiman Halim, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Puan Nur Asmah Abdul Ang telah bertugas di booth pameran akademik bagi mempromosikan program-program yang ditawarkan di bawah program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) bagi kemasukan Semester Oktober 2023 – Februari 2024, selain program di peringkat pengajian yang lain. Pengunjung booth pameran juga berpeluang mendapatkan maklumat secara terperinci berkaitan proses permohonan dan semakan kelayakan akademik dengan melakukan imbasan kod bar kit-kit risalah program khususnya Pra Diploma Sains, Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi dan Pra Diploma Pengajian Islam.

Secara tuntas, sambutan yang amat menggalakkan telah diterima sepanjang program karnival berlangsung. Semoga dengan penganjuran Karnival Pendidikan dan Kerjaya seperti ini berjaya memberikan informasi yang jelas berkaitan program-program yang ditawarkan serta membuka ruang dan peluang kepada calon pelajar untuk melanjutkan pengajian di UiTM.

Sebagai rekod, jemputan mengadakan pameran akademik kali ini adalah merupakan yang pertama buat UiTMCSH Kampus Tawau bagi tahun 2023.