KOTA KINABALU, 30 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah telah mengadakan Majlis Inovasi dan Jasamu Dikenang (MAIJASA 2024) di Dewan Al Bukhari, Ujana Sarjana, bagi meraikan pesara dan staf yang telah berkhidmat selama 20, 25, 30, dan 35 tahun pada 20 Disember 2024. Majlis ini juga memberi penghargaan kepada staf yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta pemenang dalam Pertandingan Inovasi, Kecemerlangan Operasi, Kemerdekaan, dan EKSA.
Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed, merasmikan majlis yang dihadiri oleh 250 staf. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kerjasama dalam mencapai kecemerlangan organisasi dan menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Manual Pengurusan Temuduga, yang bertujuan memberikan panduan kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam urusan temu duga, termasuk pola soalan dan tatacara berpakaian. Selain itu, sumbangan bantuan kewangan kepada pelajar Program Pra-Diploma yang kurang berkemampuan juga dilaksanakan semasa majlis.
Satu lagi inisiatif yang dilancarkan adalah simbolik perasmian “Green Nature” Pusat Pengurusan Sisa Pepejal (PPSO) UiTM Cawangan Sabah. Inisiatif ini, hasil kerjasama antara UGC dan BPF, bertujuan memupuk budaya membuang sampah dengan betul dan menghargai alam sekitar.
Majlis ini juga memberi penghargaan kepada staf melalui Anugerah Wakaf Ilmu untuk staf akademik dan Wakaf Tenaga untuk staf bukan akademik, serta penghargaan kepada Jawatankuasa Kualiti yang terlibat dalam pelbagai inisiatif.
Profesor Madya Dr. Rozita merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan mengucapkan tahniah kepada semua warga UiTM Cawangan Sabah atas usaha mereka dalam mencapai kecemerlangan dan menaikkan nama institusi.