Permatang Pauh Pulau Pinang, 16-18 Mei 2024 – Program “Aiding in Sustainable Skills Empowerment & Transfer” atau ASSETS telah diadakan pada 16 hingga 18 Mei 2024 di UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP), Kampus Permatang Pauh. ASSETS dianjurkan bagi tujuan mengenengahkan kewibawaan siswa-siswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) di mata masyarakat dari sudut perpindahan ilmu serta kemahiran praktikal kepada orang awam. Pada masa yang sama, ia dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka di luar kuliah. Ia juga merupakan satu inisiatif memupuk penerapan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan para pelajar dari Maahad Riyadhil Quran (MRIQ).
Usaha kolaboratif ini bukan sahaja melibatkan dua jabatan servising serta tiga kelab di UiTM Cawangan Pulau Pinang, termasuk Akademi Pengajian Bahasa (APB), Jabatan Sains Komputer & Matematik (JSKM), Persatuan Bahasa Inggeris, Kelab Budi Penyayang dan Kelab Frisbee. Malah ianya juga turut disokong oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan Syarikat Switch. Program selama tiga hari ini menampilkan pelbagai aktiviti yang menarik yang berakhir dengan penyertaan pelajar tahfiz dalam aktiviti, di antaranya:
- Pada 16 Mei 2024, program aktiviti Frisbee dijalankan bagi memupuk semangat kepasukanan, diikuti dengan permainan perbendaharaan kata dalam Bahasa Inggeris.
- Pada 17 Mei 2024, program Station Games telah diadakan di mana para peserta terlibat dalam permainan stesen yang dikendalikan oleh pensyarah bahasa Inggeris dari APB serta pensyarah Matematik dari JSKM. Sesi tersebut menggalakkan pemikiran kreativiti dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar tahfiz dan fasilitator mereka. Seterusnya, para tahfiz diajar cara-cara membuat aiskrim Malaysia daripada kumpulan mahasiswa dari Kelab Budi Penyayang. Sesi ini bukan sahaja merupakan pemindahan kemahiran memasak tetapi juga membolehkan peserta menerokai kreativiti dalam membuat makanan tempatan. Pada sebelah petang, para tahfiz diajar teknik asas menggunting rambut oleh kumpulan pelajar UiTMCPP yang mempunyai kebolehan dan sijil menggunting rambut. Sesi praktikal ini mendedahkan lagi para tahfiz tentang penjagaan diri dan dandanan, menambah dimensi unik kepada set kemahiran para peserta. Di sebelah malam pula, pelajar tahfiz menghadiri sesi bersama Encik Alliff Azlan dari Switch untuk mempelajari cara mencipta permainan Jenga maya dengan menggunakan iPad.
- Pada 18 Mei 2024, diceriakan dengan program Penyayang Charity Fun Run & aktiviti Sukaneka 2024, anjuran Kelab Budi Penyayang selepas larian, lawatan ke Ekspo Keusahawanan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) bagi mendedahkan kepada mereka pelbagai usaha keusahawanan dan idea perniagaan. Seterusnya, satu sesi pemindahan ilmu yang diketuai oleh pelajar fisioterapi dari kampus Bertam dijalankan, di mana perpindahan ilmu teknik Cardiopulmonary resuscitation (CPR) asas dan kaedah urut belakang berjaya terlaksana dan diharap kemahiran penting ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian para pelajar tahfiz. Pada sebelah petang sebelum majlis penutup, para peserta dijemput untuk bertanding dalam Tangram Rope Jump Challenge oleh Switch di PTAR.
- Pada 18 Mei 2024 juga, program ASSETS ini diserikan lagi dengan majlis menandatangani MoU antara UiTMCPP dan MRIQ Kedah.
Secara keseluruhannya, program ASSETS yang penuh dengan pelbagai perpindahan ilmu dari warga UiTMCPP kepada pihak tahfiz berjaya mencapai objektifnya. Secara tidak langsung, program ini memperkasakan UiTM sebagai pusat perpindahan ilmu dalam kalangan pelajar tahfiz serta masyarakat setempat dengan kemahiran dan pengetahuan praktikal. Semoga kerjasama dan sokongan dari semua pihak di UiTM dan komuniti akan berterusan bagi memastikan kejayaan sesuatu program pada masa akan datang.
Noor Azli Affendy Lee & Dr. Nor Hanim Abd Rahman