UiTM Cawangan Perlis Menyambut Baik Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021 -2025)

Arau, 16 Disember 2021 – Sebanyak 20 batang pokok dari pelbagai spesis terancam, antaranya Meranti, Belian, dan Damak telah ditanam di ladang UiTM Cawangan Perlis. Penanaman pokok yang berlangsung semalam adalah selari dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021 -2025) melalui Program Penghijauan Malaysia anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Malaysia.

Dalam ucapan ringkasnya, Rektor UiTM Perlis, Profesor Madya Ts Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi, berkata UiTM Perlis menyambut baik usaha ini kerana ia dapat meningkatkan kelestarian alam sekitar serta dapat memberi peluang kepada generasi kini untuk mengenali spesis pokok-pokok yang terancam di Malaysia.

Pada program itu, YBhg Rektor turut mengambil peluang untuk menanam pokok spesis Belian. Turut hadir, Profesor Ts Dr Mohd Azlan Mohd Ishak (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik), Encik Mohd Saiful Akbar Bin Mohamad Sahal (Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perladangan dan Agroteknologi), Dr Zuliahani Ahmad (Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan), wakil Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), wakil Unit Korporat UiTM Perlis, para pensyarah Fakulti Perladangan dan Argoteknologi serta wakil dari stesen penyelidikan FRIM Mata Ayer. Pokok-pokok yang ditanam disumbang oleh FRIM yang diwakili oleh Encik Tan Kok Kiat.