Situasi pandemik yang melanda dunia tidak menghalang UiTM Perlis untuk terus memperluas jaringan kerjasama bersama agensi, industri serta institusi dalam dan luar negara. Pada 28 Oktober 2021, sejarah baru telah dicipta di UiTM Perlis apabila sejumlah 20 Memorandum Persefahaman (MoU)/ Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani dalam suatu majlis yang diadakan secara maya. Ini menjadikan jumlah MoU/MoA yang telah ditandatangani oleh UiTM Perlis sehingga Oktober 2021 adalah sebanyak 28 MoU/MoA.
Daripada 20 MoU/MoA yang ditandatangani, 17 daripadanya adalah kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan 3 lagi melalui kerjasama Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama rakan-rakan MoU/MoA yang terdiri daripada:
Universiti/institusi tempatan dan antarabangsa:
1. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysia (MoA)
2. Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Malaysia.
3. Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jawa Timur, Indonesia.
4. Universitas Islam Riau, Indonesia (MoA)
5. Islamia University of Bahawalpur, Pakistan.
6. Cox’s Bazar International University, Bangladesh.
7. Cangzhou Normal University, China.
8. Xinyang Normal University, China
9. Lebanese French University, Iraq.
10. University of Sfax, Tunisia.
11. University of Finance and Economics, Mongolia
Rakan industri/agensi:
12. Dive Buddy, Malaysia.
13. Accustrong Sdn. Bhd., Malaysia.
14. Econat Resources Sdn. Bhd., Malaysia.
15. Uniutama Solutions Sdn. Bhd., Malaysia.
16. Arbaah Sdn. Bhd., Malaysia.
17. MTS JAYA Sdn. Bhd., Malaysia.
18. MADA Corp, Malaysia.
19. Ancom Crop Care Sdn. Bhd., Malaysia (MoA)
20. Darul Aman English Language Learning and Teaching Association (DELTA), Malaysia.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg Profesor Dr Hj Khudzir Hj Ismail, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurusan Tertinggi UiTM Cawangan Perlis, Naib Canselor, Rektor, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah serta barisan pengurusan kanan setiap agensi, industri dan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang terlibat.
Pada majlis tersebut, YBhg Rektor UiTM Perlis dalam ucapannya berkata jalinan kerjasama melalui MoU dan MoA di antara UiTM Perlis bersama agensi, industri dan institusi pengajian tinggi yang lain merupakan sebahagian dari komitmen kampus tersebut untuk membangun dan memanfaatkan bakat staf dan pelajar UiTM Perlis dalam bidang penyelidikan, perkongsian pengetahuan, dan pembangunan teknologi dan kemahiran.
Jalinan persefahaman di antara UiTM Perlis bersama rakan-rakan strategik melalui MoU/MoA telah membawa kepada pelbagai bentuk kerjasama antaranya dalam penyelidikan, contohnya melalui geran sepadan yang bernilai RM98,000 antara Physics and Chemistry Materials Research Group (PCMaG) bersama Universiti Teknologi Malaysia.
Selain itu, sepanjang tahun 2021, UiTM Perlis telah berjaya menganjurkan beberapa program bersama institusi luar negara seperti 4th International Malaysia-Indonesia-Thailand Symposium on Innovation and Creativity 2021 bersama Universitas Islam Riau, UiTM Pahang, UiTM Sarawak, UiTM Johor serta universiti-universiti lain dari Indonesia dan Thailand; International Online Postgraduate Seminar bersama Cox’s Bazar International University, Bangladesh dan Islamia University of Bahawalpur, Pakistan; dan International Conference on Language Education (iCOLE2021) bersama University of Finance and Economics, Mongolia.