Seri Iskandar, 21 April 2022 – UiTM Cawangan Perak melangkah ke hadapan dengan memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) bersama University of East Anglia (UEA), United Kingdom. Majlis menandatangani MOC berkenaan diadakan secara dalam talian yang dihadiri oleh Profesor Mark Searcey selaku Pro-Vice Chancellor mewakili UEA. Manakala Profesor Sr Dr. Md. Yusof Hamid yang menjalankan tugas sebagai Rektor UiTM Cawangan Perak pula hadir bagi pihak Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.
Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh pengurusan eksekutif UiTM Cawangan Perak, dekan dan pengurusan UEA. MOC ini bertujuan untuk mempromosikan kemasukan pelajar UiTM ke program ijazah di UEA, khususnya untuk program Sains Aktuari dan Sains Komputer. Pelajar UiTM diberi peluang yang baik untuk melanjutkan pelajaran dan mempunyai pengalaman industri di United Kingdom. Professor Sr. Dr. Md. Yusof Hamid turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kerjasama ini khususnya Cik Nor Mariyah Abdul Ghafar dan Dr. Khairulliza Ahmad Salleh mewakili Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Perak.
Selain itu, UiTM dan UEA juga telah merancang beberapa bentuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti projek penyelidikan bersama, persidangan, pertukaran pelajar dan kakitangan akademik, termasuk profesor pelawat dari kedua-dua universiti. Jelas, MOC ini menandakan permulaan penglibatan yang bermakna dan kerjasama yang memberi impak ke arah menjadikan warga UiTM berkompetensi global. Berpandukan kepada “Pelan Strategik UiTM 2025,” yang menekankan potensi untuk membentuk masa depan, pasti akan menjadikan UiTM sebagai universiti yang terkenal di peringkat global.
Sudah pasti, ia akan menyediakan akses yang luas kepada pendidikan tinggi dan bertaraf dunia. Semestinya, UiTM Cawangan Perak kini berada di landasan yang tepat dalam menawarkan program akademik yang memenuhi kehendak pasaran dan mampu bersaing di peringkat global.