27 Mac 2022 β Satu projek kerjasama pemindahan teknologi dan pemasangan sistem solar panel di antara Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Puncak Iskandar dan UiTM Cawangan Perak telah berlangsung hari ini.
Program ini adalah bersempena dengan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Hijau Seri Iskandar 2030. Turut serta memeriahkan dan merasmikan program ini adalah YB Ahli Parlimen Parit, Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria. Projek ini juga merupakan kesinambungan kepada beberapa projek USR dan KTP yang telah dilaksanakan di sekitar daerah Perak Tengah.
Hadir bersama pada program ini adalah YDP MDPT, Tuan Mohd Syukri bin Azaari, Penyelaras Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak Sr Dr Nur Azfahani bt Ahmad, Ahli Majlis MDPT Clr Ahmad Shamil bin Mohamed, Pegawai Perpaduan Derah Perak Tengah, pegawai-pegawai MDPT, AJK program dari UiTM Cawangan Perak, alumni UiTM Cawangan Perak, wakil industri serta penduduk Taman Puncak Iskandar.
Secara keseluruhannya, terdapat 8 kawasan kejiranan Puncak Iskandar, Seri Iskandar, Perak terlibat dengan pemasangan 30 unit sistem pencahayaan solar pelbagai jenis. Program dijalankan secara penglibatan masyarakat setempat (community engagement) menggunakan konsep gotong-royong “Community-Based Approach”.
Kesemua unit sistem pencahayaan solar ini telah diperuntukkan hasil sumbangan MDPT, komuniti setempat dan warga Puncak Iskandar.
Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan teknologi hijau. Selain itu, ia juga bertujuan memupuk penjimatan tenaga serta meningkatkan keselamatan di tempat-tempat terlindung melalui pencahayaan kawasan berkenaan.
Projek yang diketuai oleh Sr Dr Nur Azfahani Ahmad ini mendapat kerjasama penuh dari 20 staf MDPT, 25 staf dan alumni UiTM Cawangan Perak (termasuk ahli Greensafe Cities), 30 warga setempat KRT Puncak Iskandar, yang diketuai oleh Tuan Norhazlan Haron serta 10 pelajar Kolej Profesional MARA (KPM) Seri Iskandar. Projek ini disasarkan mencapai beberapa PI UiTM seperti PI75, PI76, PI77, PI78, PI79 dan PI80.
Ate, mohler kite pasang solar panel!