UiTM Cawangan Perak Ceriakan Bandar Batu Gajah, Perak Dengan Mural Bertemakan Bandar Warisan Dan Inspirasi Matlamat Pembangunan Mampan

Batu Gajah, 29 April 2022 – Satu projek berstatus IPT For Society@Keluarga Malaysia (UNiTY) telah dilaksanakan dibawah Geran Penyelidikan dan University Service Response (USR) hasil usahasama antara Jabatan Seni Halus, UiTM Cawangan Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG). Projek penyelidikan dan mural ini bertemakan “Batu Gajah Bandar Warisan Pentadbiran Daerah Kinta 2021”. Projek dengan geran bernilai RM19,999.00 ini telah dilaksanakan selama seminggu bermula dari 28 Februari 2022 sehingga 7 Mac 2022.

Projek ini dipengerusi oleh Dr. Azian Tahir, pengerusi lapangan Dr. Syed Alwi Syed Abu Bakar, serta 18 orang AJK yang terdiri dari pensyarah Jabatan Seni Halus, UiTM Cawangan Perak. Selain itu, projek ini juga melibatkan seramai 25 orang pelajar Sarjana Muda dari Jabatan Seni Halus dan dibantu oleh 7 orang pakar mural yang juga merupakan alumni UiTM.

Secara keseluruhannya, terdapat 4 dinding projek yang telah berjaya dilaksanakan dengan tema masing-masing. Tema bagi Dinding 1 adalah “SEJARAH PENTADBIRAN MAJLIS DAERAH BATU GAJAH”, diketuai oleh En Sallehuddin Zakaria, bersama tenaga pensyarah En Fawazie Arshad, Pn Siti Humaini Said Ahmad, Pn Hairulnisak binti Merman dan Pn Nur Adibah Nadiah Mohd Aripin. Pasukan ini turut dibantu oleh seramai 7 orang pelajar dan 2 orang pakar mural alumni UiTM.

Tema bagi Dinding 2 adalah “SEJARAH PENUBUHAN BANDAR BATU GAJAH”, diketuai oleh En. Hilal Mazlan, dengan tenaga pensyarah En. Nur Muhammad Amin Hashim Amir, Pn Noor A’yunni binti Muhamad dan En Izaddin Matrahah. Pasukan ini turut dibantu oleh seramai 6 orang pelajar dan seorang pakar mural alumni UiTM.

Tema bagi Dinding 3 adalah “INSPIRASI MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN”, diketuai oleh En Mohd Nafis Saad, dan tenaga pensyarah En Mahizan Hijaz Muhammad, Dr. Aznan Omar, dan Cik Ruzamira Abdul Razak. Mereka turut dibantu oleh seramai 6 orang pelajar dan 2 orang pakar alumni UiTM.

Tema bagi Dinding 4 adalah “SEJARAH PERINDUSTRIAN BIJIH TIMAH”, dengan disokong oleh tenaga pensyarah Cik Rosmidahanim Razali, En. Noor Enfendi bin Desa dan En Hamdan Shahrani. Mereka telah dibantu oleh seramai 6 orang pelajar dan seorang pakar alumni UiTM.

Projek ini berlatarbelakangkan kepada perkembangan MDBG sebagai sebuah organisasi kerajaan tempatan yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan komuniti tempatan dari sudut pentadbiran. Jelas, MDBG menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam merealisasikan pelaksanaan kebersihan dan pembangunan bandar tersebut melalui penghasilan kerja seni berbentuk mural.

Justeru, tidak dinafikan bahawa penggunaan mural berdasarkan penyelidikan sejarah tempatan mampu menjadi medium berkesan dalam menonjolkan semangat kekitaan bagi sesebuah tempat. Sudah pasti, penghasilan mural ini akan memberi perwatakan, semangat dan warna ke atas persekitaran sebuah bandar.

Sebagai tambahan, dengan kehadiran mural ini pada bangunan-bangunan di MDBG akan memberikan impak positif kepada kesihatan mental dan juga dapat memberi manfaat terapeutik bagi mereka yang melihat dan mengamatinya.

Jelas sekali, sumbangan UiTM Cawangan Perak terhadap pembangunan komuniti setempat dan komitmen ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan adalah selari dengan usaha UiTM menjadi sebuah universiti terkemuka global (GRU) menjelang 2025.