UiTM Cawangan Pahang Tuan Rumah Kejohanan Memanah Daerah Maran

  • Untuk Semakan

Setelah berehat selama dua tahun tanpa sebarang kejohanan. pelajar-pelajar sekolah di seluruh daerah Maran berpeluang beradu kemahiran memanah di Kejohanan Memanah Daerah Maran bertempat di Lapang Sasar Memanah UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Objektif kejohanan ini adalah untuk mencari pemanah yang akan mewakili daerah Maran. Selain itu kejohanan seumpama ini menjadi landasan permulaan untuk program pembangunan sukan memanah di daerah ini.

Kejohanan ini telah disertai oleh 45 orang pemanah bawah 12, 15 dan 18 tahun daripada 17 buah sekolah dari daerah Maran. Enam pingat emas dipertandingkan di mana 2 emas dimenangi oleh SMK Maran dan SMK Jengka Pusat, dan SK Ulu Luit dan SK Bukit Bota masing-masing memenangi 1 emas.

Menurut PT Memanah MSSD Maran, En Mohamad Fazrul Zukfli, “fasiliti yang selesa dan kerjasama pihak UiTM yang mantap telah melancarkan kejohanan mengikut jadual yang ditetapkan”. Beliau juga teruja dengan suasana harmoni di kalangan peserta yang bertanding dan sokongan padu ibubapa serta guru pengiring yang memberi gambaran memanah di daerah Maran sedang menuju ke arah peningkatan yang baik.

Pingat-pingat telah disampaikan oleh En Abd Rahim Jamari, Pengetua SMK Sri Jaya dan Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, Presiden Persatuan Memanah Negeri Pahang yang diiringi oleh Akmal Syah Haji Mohamed, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Bakat Murid PPD Maran.

Program pembangunan memanah seumpama ini telah mencapai sasaran dalam memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti. Ianya selaras dengan SDG3 dan SDG4 di mana sekolah-sekolah di daerah Maran dan UiTM dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana, agar dapat berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu.

Untuk maklumam, SDG atau Matlamat Pembangunan Lestari telah menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.