Bandar Tun Razak, Jengka, Pahang – Kejohanan Memanah Kebangsaan Bawah 12 dan 15 Pertama di Malaysia telah diadakan mendapat sambutan menggalakkan dengan Penyertaan seramai 155 pemanah, 15 pegawai dan 30 petugas kejohanan daripada Perlis, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan, PDRM, MASUM dan Pahang.
Kejohanan yang julung kali diadakan ini, dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Sukan Pahang, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Persatuan Memanah Negeri Pahang (PMNP) dan Tuan Rumah, UiTM Cawangan Pahang (UiTMCPh).
Menurut Presiden PMNP, Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, berbekalkan matlamat dan visi untuk meletakkan negeri Pahang menjadi salah satu daripada destinasi kejohanan memanah mendorong warga memanah di negeri ini berusaha menjayakan kejohanan ini.
“Kejohanan ini membuka peluang kepada pemanah-pemanah bawah 15 dan 12 negara untuk mencipta 16 Rekod Baharu Kebangsaan memandangkan ini adalah pertama kali kejohanan seumpama ini diadakan”, kata Pengarah Kejohanan yang juga Pengerusi Teknikal dan Pertandingan NAAM, Encik Mukhriz Mohamed.
Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts, Dr, Mohd Ilham Adenan, berpendapat, “Bukan sahaja visibility UiTM Cawangan Pahang dapat dipertingkatkan, malah impak kejohanan ini dapat melahirkan pemanah berbakat muda dinegara kita secara amnya dan memperkasa sukan memanah di negeri Pahang khususnya”.
Terdapat 8 Kategori dipertandingkan iaitu kategori Individu bawah 15 tahun lelaki dan wanita, kategori Individu bawah 12 tahun lelaki dan wanita, kategori berpasukan bawah 15 tahun lelaki dan wanita, dan kategori berpasukan bawah 12 tahun lelaki dan perempuan. Bagi kategori bawah 15 tahun jarak yang dipertandingkan adalah 50 dan 30 meter, manakala kategori bawah 12 tahun jaraknya adalah 30 dan 20 meter.