Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dilancarkan ketika Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2016 di New York. Intipati utama SDG adalah untuk mentransformasikan dunia menjelang tahun 2030. Agenda tersebut juga bertepatan dengan matlamat pembangunan lestari negara. Penyertaan setiap lapisan masyarakat secara holistik dalam menjayakan agenda pembangunan menjadi keutamaan kerajaan supaya tiada golongan masyarakat yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
UiTM sebagai sebuah universiti awam terbesar negara melalui kampus cawangannya, UiTM Cawangan Pahang turut komited dalam menjayakan SDG. Pemberian Geran Lestari SDGTriangle@UiTM kepada semua kampus UiTM Cawangan menggalakkan lagi kakitangan akademik untuk melakukan penyelidikan berimpak tinggi yang bertemakan 17 SDG di kawasan Taman Negara Pahang, Taman Negara Ledang, Taman Negeri Royal Belum dan Pulau Tuba, Langkawi. Fokus penyelidikan tersebut adalah untuk tiga dimensi pembangunan lestari iaitu pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial bagi meningkatkan taraf ekonomi, pendidikan dan kualiti hidup masyarakat setempat di samping menjalinkan kerjasama di antara universiti dan komuniti. Tidak terhad kepada penyelidikan di Taman Negara Pahang, UiTM Cawangan Pahang juga menyediakan geran penyelidikan dalaman kepada pensyarah untuk menjalankan penyelidikan dan menyumbang kepakaran kepada komuniti setempat.
Selain daripada penyelidikan, UiTM Cawangan Pahang turut menggerakkan pelbagai aktiviti dalaman yang sejajar dengan matlamat SDG. Antaranya ialah Kelab Pensyarah UiTM Cawangan Pahang yang diketuai oleh Puan Sulaila Bakar turut bekerjasama menjayakan SDG dengan menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan pensyarah dan masyarakat setempat. Antara aktiviti tersebut meliputi sesi perkongsian santai anjuran bersama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dan Kelab Pensyarah yang berlangsung pada 15 Mac 2019. Prof. Madya Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Pensyarah Pusat Pengajian Industri Perkayuan telah berkongsi pengalaman beliau semasa mengadakan lawatan akademik ke Vietnam National University of Forestry (VNUF). Sesi perkongsian pengalaman ini telah membuka mata para pensyarah akan pentingnya industri perkayuan dalam menjana pendapatan sesebuah negara dan pada masa yang sama hasil hutan ini juga perlu dijaga agar ekosistem sentiasa terpelihara dalam mencapai kelangsungan hidup yang lestari. Selain itu, pada 27 Julai 2019, Ahli Kelab Pensyarah UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah berpeluang menjalinkan kerjasama dengan pelajar dari Universitas Islam Riau (UIR) yang sedang mengikuti program mobiliti antarabangsa. Kerjasama ini dapat membuka minda dan perspektif berkait dengan sejarah, bahasa, budaya dan agama. Kedua-dua aktiviti tersebut selari dengan Matlamat SDG-17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat.
Selain berperanan sebagai gedung ilmu, UiTM turut memberi penekanan kepada kesihatan mental dan fizikal melalui suasana kerja yang ceria dan menggembirakan seiring dengan matlamat SDG-3 iaitu Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan. Jamuan potluck dan tazkirah pada hari Jumaat dapat mengeratkan ukhwah sesama pensyarah dan menyemarakkan semangat semua kakitangan dalam suasana kerja yang ceria dan menggembirakan. Pihak UiTM Cawangan Pahang juga turut menganjurkan Hari Apresiasi Pensyarah tahun 2019. Majlis makan tengahari berlaukkan Gulai Kawah Daging telah berjaya menarik kehadiran ramai pensyarah untuk berkumpul dan makan bersama-sama. Majlis tersebut mampu mengeratkan ukhwah di antara para pensyarah serta turut mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang. Selain itu, Kelab Pensyarah juga telah menyantuni kakitangan daripada unit Polis Bantuan yang ditimpa musibah akibat kemalangan jalan raya. Sumbangan wang hasil kutipan daripada pensyarah juga disampaikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung.
Matlamat SDG-8 iaitu Pekerjaan yang Sesuai dan Pembangunan Ekonomi turut disahut oleh kakitangan UiTM Cawangan Pahang. Car Boot Sale anjuran bersama Fakulti Perniagaan dan Pengurusan dan Kelab Pensyarah juga telah diadakan. Pelbagai produk jualan seperti kecantikan, makanan, minuman, pakaian, peralatan rumah, dan bahan bacaan telah diniagakan oleh pensyarah dan pelajar melibatkan 16 buah kiosk. Pengunjung juga dijamu Bubur Lambuk sumbangan Kelab Pensyarah. Tabung Bubur Lambuk juga dilancarkan bagi mengumpul dana untuk menaja majlis berbuka puasa di Perkampungan Rumah Sejahtera Warga Emas Islam Tanpa Waris Raub (PEWEIRA). Program sebegini dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan usahawan yang berjaya di kalangan para pensyarah. Durian Fest anjuran Kelab Pensyarah bersama pejabat FAMA Jerantut sempena Hari Inovasi 2019 juga telah diadakan. Pelbagai jenis durian seperti Musang King, 101, D24 serta manggis turut diniagakan oleh warga UiTM yang sememangnya menunggu-nunggu acara tahunan ini. Kelab Pensyarah juga telah menyediakan pulut dan santan secara percuma untuk dinikmati. Satu pertandingan meneka berat durian juga telah diadakan. Pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang begitu komited menyokong segala program Kelab Pensyarah dalam usaha mengukuhkan ukhwah di antara warga kampus.
Selain itu Matlamat SDG-13 iaitu Tindakan Terhadap Iklim turut direalisasikan oleh kakitangan UiTM Cawangan Pahang. Barisan AJK Kelab Pensyarah telah menyempurnakan penanaman sembilan batang pokok kelapa pandan di ladang buah-buahan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka sebagai simbolik yang mewakili tujuh fakulti iaitu Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP), Fakulti Sains Gunaan (FSG), Fakulti Perakaunan (FPN), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan Akademi Pengajian Bahasa (APB). Kakitangan UiTM turut dibimbing oleh kru Unit Pengurusan Ladang. Program ini selari dengan matlamat Greenation (Penghijauan) yang ditekankan oleh UiTM.
Selain itu, Program Sembang Santai anjuran Kelab Pensyarah juga telah dianjurkan berkait dengan biodiversiti di Paya Bungor selari dengan Matlamat SDG-14 dan 15 berkait dengan Kehidupan Air dan Darat. Umum mengetahui biodiversiti yang wujud di Paya Bungor amatlah penting dalam memastikan kemandirian spesies manusia dengan menyediakan makanan, bahan api, tempat tinggal, ubat-ubatan dan lain-lain sumber kepada manusia. UiTM Cawangan Pahang amat bertuah kerana telah diberi peluang untuk bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dalam menjalankan kajian ilmiah di Paya Bungor. Kerjasama ini telah dimulakan pada tahun 2016 dengan MOU (Memorandum of Understanding) pertama yang berjumlah RM243,000 dan MOU yang kedua yang berjumlah RM245,000. Buat masa ini terdapat empat fakulti yang terlibat. Sesi perkongsian maklumat sebegini telah menyedarkan semua pihak akan pentingnya kekayaan kepelbagaian biologi Paya Bungor untuk terus dipelihara dalam mencapai kelangsungan hidup yang lestari.
Kesimpulannya, kakitangan universiti harus berperanan aktif dan perlu merebut setiap peluang yang diberikan untuk terus berkolaborasi dengan mana-mana pihak terutamanya dengan komuniti setempat. Setiap kakitangan universiti khususnya pensyarah perlu menggunakan ilmu dan kepakaran bagi menangani isu masyarakat dan negara khususnya yang bersangkutan dengan peningkatan kesejahteraan hidup masyarakat dan juga penggunaan sumber secara bijaksana bagi memastikan pemuliharaan terhadap alam sekitar dapat direalisasikan untuk generasi mendatang.