UiTM Cawangan Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan Meterai MoU Jalin Kerjasama Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi

MACHANG 15 Nov – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kerajaan Negeri Kelantan hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam kerjasama pelbagai bidang dengan tumpuan utama terhadap pembangunan insan, pendidikan, pengajian tinggi, sains dan teknologi di negeri Kelantan.

Bagi menandatangani MoU tersebut, majlis yang diadakan secara maya itu diwakili oleh Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, yang menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, manakala Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi telah mewakili Kerajaan Negeri Kelantan.

Zulkifli berkata, kolaborasi ini amat memberi manfaat kepada pihak UiTM dan juga Kerajaan Negeri Kelantan dalam membentuk dan menjalinkan usahasama antara kedua-dua pihak meliputi pelbagai bidang seperti latihan, penyelidikan, perundingan dan latihan buat para pelajar. Beliau berharap agar UiTM dapat sentiasa membantu dan memperkasakan pengetahuan sains, teknologi, kejuruteraan and matematik (STEM) kepada para pelajar dan masyarakat.

Dengan termeterainya MoU ini, silaturahim di antara UiTM Cawangan Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan dilihat akan bertambah utuh. Beliau juga menambah, kolaborasi sebegini bakal menghasilkan aktiviti kerjasama yang pastinya akan memberi impak yang baik terhadap masyarakat khususnya penduduk negeri Kelantan. UiTM Cawangan Kelantan akan terus komited dalam memastikan peluang kolaborasi ini digunakan sepenuhnya oleh warga UiTM untuk lebih mendekatkan institusi universiti dengan rakyat.

Kerjasama di antara kedua agensi ini telah pun bermula di mana satu geran penyelidikan sebanyak RM10 000 bagi menjalankan penyelidikan (An Investigation on the Effectiveness of Information Dissemination About Covid-19 Vaccination for Senior Citizens in Kelantan) di bawah Program Projek Adaptasi Teknologi Untuk Pembangunan Modal Insan dan Kepentingan Teknologi Semasa Pandemik Covid-19 di Negeri Kelantan telah berjaya diperoleh. Seramai lima orang penyelidik dari UiTM Cawangan Kelantan terlibat dalam penyelidikan ini.

Di dalam majlis itu juga, Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan berharap agar melalui MoU ini, golongan ilmuan dapat sama-sama merancakkan bidang kerjasama yang sedia ada di antara UiTM dan kerajaan negeri Kelantan di samping menjana bidang baru yang berprasyarat memberi impak dan manfaat khasnya melonjakkan martabat pendidikan ummah melalui pembangunan sains dan teknologi.