PASIR GUDANG, 16 April 2022 – Seramai 30 orang anak yatim dan 15 orang asnaf telah diraikan di majlis Iftar UiTM bersama Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang diadakan di Pusat Islam, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang. Majlis anjuran bersama UiTM Cawangan Johor dan UiTM Holdings Sdn. Bhd ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, dan disertai oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Haji Ismail bin Ahmad, Rektor UiTM Cawangan Johor, Encik Muhammad Mubarak bin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings Sdn. Bhd., serta barisan pengurusan eksekutif.
Program julung-julung kali ini merupakan kerjasama kedua-dua pihak penganjur dalam meraikan keberkatan bulan Ramadan, dan berkongsi kegembiraan dengan jamuan berbuka puasa dan sumbangan duit raya kepada penerima. Program ini dilihat sebagai salah satu bentuk tanggungjawab sosial dan pengimarahan budaya memberi, membantu, dan bersedekah. Selain itu, program yang diadakan di kampus UiTM ini juga dilihat dapat mendekatkan komuniti dengan universiti sekali gus memperkasa bumiputera menerusi program yang diaspirasikan Kementerian Pengajian Tinggi iaitu “University for Society”.
Di dalam ucapannya, Yang Berbahagia Naib Canselor menyatakan harapan agar aktiviti seumpamanya tidak hanya terbatas di bulan Ramadhan, dan amalan berinfaq seperti dianjurkan dalam Islam dapat diteruskan dan diterapkan sebagai budaya. Beliau juga menzahirkan kekaguman beliau terhadap usaha ikhlas pasangan yang menubuhkan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Encik Muhammad Fitri Abd Rashad dan Puan Kamelia, dan berharap agar kecekalan dan iltizam tinggi mereka dapat dijadikan inspirasi oleh warga UiTM secara umumnya.