UiTM Catat Peningkatan Dalam Dua Petunjuk Utama QS World University Ranking 2021

SHAH ALAM, 10 Jun — Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam dua petunjuk utama Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) 2021 iaitu Reputasi Majikan dan Reputasi Akademik.

UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, Reputasi Majikan UiTM melonjak 72 anak tangga, kepada anak tangga ke-179 dunia berbanding tahun lepas, manakala Reputasi Akademik pula meningkat 27 anak tangga, kepada anak tangga ke-366.

“Sebagai universiti awam terbesar di Malaysia, UiTM kekal berada di kedudukan 651-700 daripada 1,002 universiti seluruh dunia yang disenaraikan di bawah penarafan QS-WUR 2021.

“Penarafan ini meletakkan UiTM dalam kalangan 55 peratus universiti terbaik dunia yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding tahun sebelumnya,” kata institusi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Penarafan QS-WUR 2021 menilai universiti berdasarkan enam petunjuk utama iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Pemetikan tiap Fakulti, Pelajar Fakulti, Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata pencapaian cemerlang petunjuk Reputasi Majikan jelas membuktikan graduan UiTM kekal mendapat kepercayaan dan menepati kehendak majikan sama ada kerajaan mahupun swasta tempatan serta luar negara.

Selain itu katanya, peningkatan memberangsangkan dalam petunjuk Reputasi Akademik pula memberikan isyarat positif keberhasilan usaha-usaha ke arah ketampakan UiTM di pentas antarabangsa.

 “Pencapaian cemerlang ini juga membuktikan UiTM kekal konsisten untuk terus menambah baik kualiti akademik dan prestasi tinggi graduan melalui silibus, tenaga pengajar dan staf yang komited kepada kecemerlangan universiti,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian penarafan itu turut memberi motivasi kepada universiti ini untuk merancang dan melaksanakan usaha ke arah pengukuhan UiTM di pentas dunia melalui pelbagai jaringan kerjasama.

Pada masa sama kata Mohd Azraai, universiti ini juga mempunyai strategi bagi memperbaiki kedudukannya dalam kesemua petunjuk QS-WUR menerusi Perancangan Strategik UiTM 2025 yang dilancarkan pada Feb lepas.

“UiTM akan terus komited dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang menepati kehendak pasaran dan profesion pekerjaan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Sumber dari Bernama:

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1849943