UiTM Bimbing Pelajar Sekolah Menjadi Pengguna Media Sosial Beretika

MERU, 5 Disember 2024 – Mahasiswa tahun akhir Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang memperkasakan pelajar KAFA Integrasi Imam Al Ghazali akan penggunaan sosial media secara beretika melalui inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Lebih 100 orang pelajar tahun 6 KAFA Integrasi Imam Al Ghazali telah terlibat dalam program ini yang mengetengahkan aspek positif dan negatif penggunaan media sosial melalui ceramah dan aktiviti interaktif. Program yang telah dianjurkan oleh 80 orang mahasiswa daripada program Sarjana Muda Sains Komputer Rangkaian Komputer (CS255) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Pintar (CS259), bertujuan meningkatkan pemahaman murid tentang penerokaan alam siber. Program ini turut menyediakan peluang yang berharga bagi pelajar UiTM berkongsi ilmu serta menyumbang kepada pembangunan komuniti. Secara keseluruhannya, program ini menjadi satu gabungan yang bermakna untuk pihak universiti dan penglibatan komuniti.

Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan telah dianjurkan antaranya “Jejak Kata Kod Morse” ,  “Spot the Phish” , “Typing Race” , “Explore the Internet,” “Spot the Scam,” dan “Virtual Reality”. Aktiviti-aktiviti ini bertindak sebagai cerminan situasi dunia sebenar yang memerlukan tanggungjawab sosial, memupuk semangat kerjasama, kemahiran komunikasi serta menggalakkan para pelajar menjadi pengguna media sosial yang beretika.

Rata-rata peserta memberikan maklum balas yang positif terhadap pengisian program dan aktiviti yang bermanfaat serta menarik. Program ini telah dirasmikan oleh Professor Madya Ts. Dr. Nur Atiqah Sia Abdullah, Dekan Jaringan Industri, Komuniti, dan Alumni KPPIM. Turut hadir Puan Noor Hazirah binti Haji Ibrahim selaku Setiausaha Kurikulum KAFA Integrasi Imam Al Ghazali.

Program SULAM 2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Pelajar diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan mengetahui bagaimana ilmu yang diperolehi juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) Empat dan Sebelas, iaitu Pendidikan Berkualiti, serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga seiring dengan aspirasi Kerajaan untuk membentuk Malaysia Madani.

Penulis: Fatin Nur Aisyah Zainal, Sufi Shaharul Miza, Wan Athirah Wan Endut,

(Editor: Afdallyna Harun & KPPIM News Team)