UiTM Berkolaborasi Bersama EQ Kuala Lumpur Mempergiatkan Industri Hospitaliti

KUALA LUMPUR, 8 JUN 2022 – Hari ini menandakan peristiwa bersejarah dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan EQ Kuala Lumpur. Acara itu diadakan di Dewan Konservatori ikonik EQ Kuala Lumpur. Majlis menandatangani MoU ini ditelah diterajui oleh Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam, Cawangan Selangor.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor menandatangani MoU bagi pihak UiTM dan disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Prof Dr Haji Mohd Salehuddin Mohd Zahari, manakala mewakili EQ Kuala Lumpur ialah En. Gerard Walker, Pengurus Besar EQ, dan En. Justin Lee, Penolong Pengurus Eksekutif Operasi Hotel EQ Kuala Lumpur.

“Kami amat menghargai kerjasama strategik ini. Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan baru-baru ini telah berada di kedudukan ke-42 di peringkat global oleh QS World University Ranking didalam bidang pengurusan hospitaliti dan santai pada tahun 2022. Oleh itu, dalam usaha membentuk modal insan industri perhotelan generasi akan datang memerlukan kerjasama bersama hotel berjenama terkemuka untuk menerapkan amalan pengurusan hospitaliti terkini.” Perkongsian ini akan membolehkan kedua-dua organisasi bekerjasama bagi mendapatkan pandangan yang berharga dalam pembangunan kerjaya pelajar dan kakitangan. Bekerjasama dengan ikon hotel seperti EQ Kuala Lumpur akan mencipta juara dalam kalangan pelajar UiTM kita,” kata Prof. Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor dengan penuh yakin.

Pemeteraian MoU yang ditunggu-tunggu ini, pada asalnya dirancang pada awal 2019 sebelum pandemik COVID-19. Kerjasama strategik bersama EQ Kuala Lumpur termasuk program EQ-UiTM Student Engagement, yang memfokuskan kepada latihan amali yang dianjurkan berdasarkan Pelan Laluan Pelatih EQ, EQ Work Engagement (sambilan) dan pelan Pelatih Pengurusan. Selain itu, bagi kakitangan fakulti dan hotel perancangan termasuk program penamahan skil kakitangan seperti Latihan Jurulatih (TOT), Latihan profesional, kuliah tetamu dan pensijilan dan peningkatan kemahiran yang lain.

Tahniah sekali lagi kepada UiTM dan EQ Kuala Lumpur. Semoga perhubungan ini menjelma dalam pelbagai program dan aktiviti dan meletakkan institusi yang terlibat pada tahap yang lebih tinggi.