UiTM belum boleh dabik dada

PEMAIN Pulau Pinang, Ugochukwu Ukah (tengah) cuba menghalang bola dari pemain UiTM FC, Lucas Ramon (kiri) pada aksi Liga Perdana di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi. – Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Biarpun berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan pertama, sebentar tadi, namun pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail mengingatkan anak buahnya supaya tidak dibuai mimpi kerana siangan Liga Perdana musim 2018 baharu saja bermula.

Wan Mustaffa juga menyifatkan kemenangan ke atas skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan adalah satu permulaan baik dan petanda positif untuk UiTM FC musim ini.

Terdahulu, Wan Mustaffa berkata, beliau gembira kerana strategi bertahan dan formasi 5:3:2 digunakannya malam ini membuahkan hasil dan membolehkan UiTM FC merakam kemenangan sulung dengan menewaskan pasukan kuat seperti Pulau Pinang.

Beliau berkata, pujian juga harus diberikan kepada pemain kerana bermain bersungguh-sungguh biarpun berhadapan Pulau Pinang yang menjadi pasukan pilihan untuk menang perlawanan sulung Liga Perdana berkenaan.

“Saya gembira kerana semua anak buah mempamerkan kesungguhan dan semangat juang tinggi malam ini sehingga kita berjaya menewaskan lawan biarpun mereka dibarisi ramai pemain berpengalaman.

“Pujian juga patut diberikan kepada pemain import, Bakary Dao yang berjaya menjaringkan gol ketiga biarpun dia hanya mendapat satu peluang dan masih bergelut untuk mencari keserasian dengan rakan sepasukan,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Zainal pula mengakui bahawa kelekaan anak buahnya selepas mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Ken Ilso Larsen pada minit ke-74 menyebabkan Pulau Pinang tewas di tangan tuan rumah.

Akibatnya, Pulau Pinang terpaksa membayar dengan harga mahal apabila gawang mereka yang dikawal Amirul Asraf dibolosi dua kali pada minit ke-85 menerusi Lucas Ramon dan minit ke-91, Bakary Dao.

“Saya berharap semua pemain Pulau Pinang dapat menjadikan kekalahan malam ini sebagai pengajaran supaya tidak memandang rendah kepada lawan tanpa mengira mereka adalah pasukan kerdil dan kuat,” katanya.

Oleh : Haika Khazi

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/02/383540/uitm-belum-boleh-dabik-dada

 

0
0