UiTM Antara 46% Universiti Berprestasi Terbaik dalam ‘QS World University Rankings 2023’

SHAH ALAM, 9 JUN 2022 – Reputasi UiTM terus menyerlah di pentas global berdasarkan keputusan penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 yang baru diumumkan. Prestasi persentil UiTM yang melonjak sebanyak 4% berbanding tahun lepas telah menempatkan universiti tersebut dalam kalangan 46% institusi tertinggi daripada 1,422 universiti (berbanding 1,300 universiti pada tahun lepas) yang menduduki ranking QS WUR pada tahun ini dari 100 lokasi di seluruh dunia. Walaupun terdapat peningkatan dalam penglibatan universiti di seluruh dunia, UiTM mengekalkan kedudukannya pada kedudukan 651-700 dan menyaksikan peningkatan ketara dalam indikator QS WUR.

Reputasi Majikan terus menjadi indikator terbaik bagi UiTM yang kini mencapai kedudukan ke-195 di peringkat global dengan lonjakan 5 anak tangga daripada prestasi tahun lepas.

Bagi tahun ketiga berturut-turut, UiTM juga terus meningkat dalam Reputasi Akademik dan telah berjaya mencapai kedudukan ke-317 dengan lonjakan 21 anak tangga berbanding tahun lalu dan 49 anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Dengan pemberat sebanyak 40% dalam QS WUR, peningkatan berterusan UiTM dalam Reputasi Akademik menyerlahkan komitmennya terhadap kualiti pengajaran dan penyelidikan, sejajar dengan hala tuju strategik UiTM 2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025.

Dua universiti baru dari Malaysia juga telah menyertai penarafan QS WUR pada tahun ini. Daripada 24 universiti yang disenaraikan, sembilan universiti berjaya meningkatkan kedudukan berbanding tahun lepas, sepuluh universiti mengekalkan kedudukan, dan tiga universiti jatuh daripada kedudukan tahun lalu. Dalam konteks tempatan, Reputasi Akademik dilihat sebagai kekuatan utama UiTM apabila menduduki tempat keenam diikuti oleh Reputasi Majikan di tempat kelapan di Malaysia. Kedua-dua skor ini telah meletakkan UiTM di kedudukan ke-12 di Malaysia tahun ini.

“Tahun ini, kita melihat 24 universiti di Malaysia telah disenaraikan dalam QS WUR 2023 – jumlah universiti yang tertinggi setakat ini untuk negara kita,” ujar Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor. “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua institusi yang tersenarai pada tahun ini dan juga berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia atas sokongan berterusan yang diberikan. Pencapaian dalam penarafan antarabangsa seperti ini harus diraikan, kerana ia menunjukkan usaha berterusan pihak universiti dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi,” katanya.

“Sebagai institusi pengajian tinggi yang terbesar di Malaysia dengan bilangan kakitangan dan pelajar tertinggi dari 34 kampus di seluruh negara, UiTM telah melalui proses yang amat mencabar untuk menaikkan namanya dalam penarafan QS. Namun begitu, kami telah menunjukkan bahawa kami mampu melakukannya. Saya amat bangga dengan prestasi yang dicapai pada hari ini. Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan, penyelidik, pelajar dan seluruh warga UiTM atas kerja keras dan kerjasama yang sentiasa diberikan,” tambahnya.