UiTM Anjur Bersama Konferens Matematik di Uzbekistan

Pada 16-17 September 2022, Universiti Teknologi MARA menerusi Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media bersama National University of Uzbekistan , V.I. Romanovskiy Institute of Mathematics, Uzbekistan, Kazakh National Pedagogical University dan Universiti Malaysia Terengganu menganjurkan Konferens Computational Models and Technologies (CMT2022) di Shafran Resort, Chimgan Village, Uzbekistan.

Prof Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media telah menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Prof. Datuk Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.

Acara diteruskan dengan pembentangan dua pengucaptama daripada National University of Uzbekistan dan seorang pengucaptama daripada UiTM, Prof Dr Daud Mohamad. Pembentangan Prof Dr Daud Mohamad mengenai aplikasi sistem Logik Kabur (fuzzy logic) di dalam analisis diabetes telah berjaya menarik minat para peserta untuk menjalinkan penyelidikan bersama.

Acara penutup CMT2022 telah berlangsung pada jam 1.00 petang pada 17 September 2022. Wakil setiap institusi penganjur telah memberikan ucapan penutup. UiTM diberikan penghargaan untuk menganjurkan CMT yang seterusnya pada tahun 2024.

Sebanyak 120 artikel telah diterima dan diterbitkan di dalam buku abstrak CMT2022. UiTM telah menghantar sebanyak 12 artikel. Artikel yang terpilih akan diterbitkan di dalam Jurnal Mathematics and Statistics, yang berindeks Scopus.